
SIBU: Jumlah kumaltif kes demam denggi yang dilaporkan di seluruh Sarawak mencatatkan penurunan ketara bagi tempoh Januari hingga 5 Julai 2025, berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Speaker Dewan Negara, Alice Lau berkata, sebanyak 365 kes telah direkodkan sepanjang tempoh tersebut, berbanding 1,235 kes dalam tempoh sama pada 2024, menunjukkan penurunan sebanyak 70.44 peratus atau 870 kes.
Menurutnya, tiada sebarang kematian dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan pada 2025, namun terdapat enam kematian dilaporkan sepanjang tempoh yang sama pada 2024.
“Di Bahagian Sibu pula, sebanyak 37 kes telah direkodkan dari Januari hingga 5 Julai 2025, berbanding 71 kes bagi tempoh sama tahun lepas. Ini merupakan penurunan sebanyak 47.88 peratus, tiada kematian turut direkodkan di kawasan ini sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Gotong – Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Klinik Komuniti Sibu Jaya, hari ini.
Ahli Parlimen Lanang itu berkata, pihak berkuasa kesihatan mengingatkan orang ramai supaya tidak leka dan terus mengambil langkah pencegahan, memandangkan penyakit demam denggi berlaku sepanjang tahun di Sarawak.
“Peningkatan kes demam denggi boleh memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap usaha meningkatkan ekonomi rakyat, khususnya apabila penyakit ini turut menjejaskan golongan produktif yang sedang bekerja,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai usaha kawalan telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan, termasuk penglibatan pasukan sukarelawan seperti COMBI serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Program gotong-royong yang dilaksanakan setiap tahun merupakan salah satu langkah proaktif yang digerakkan Kementerian Kesihatan Malaysia bersama rakan strategik di peringkat negeri dan komuniti dalam usaha memerangi penularan wabak ini,” katanya lagi.
Beliau menyeru orang ramai untuk terus memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan kawasan kediaman dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi memastikan persekitaran kekal sihat dan selamat.
Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) selaku wakil Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Mohammad Nazarudin Bahari, Ketua Vektor Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Dr Diana Jawa, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu dan Dr Teh Jo Hun, wakil Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).
Oleh Akun Giman