YANGON: Pasukan keselamatan Myanmar mengepung ratusan penunjuk perasaan daripada golongan muda di sebuah daerah di Yangon, semalam.
Channel News Asia melaporkan, polis turut mengumumkan akan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah, sekali gus menghukum sesiapa didapati menyembunyikan pihak yang diburu.
Susulan itu, ribuan orang mengingkari arahan perintah berkurung waktu malam dan membanjiri jalanan di bandar utama Myanmar ini bagi menunjukkan sokongan kepada belia di daerah Sanchaung terbabit.
Kedengaran laungan ‘Bebaskan pelajar di Sanchaung’, manakala pasukan keselamatan dilihat melepaskan tembakan untuk menyuraikan mereka.
Penduduk dan perkhidmatan berita tempatan MTK melalui hantaran dalam Facebook, mendakwa 20 individu sudah ditangkap di Sanchaung selepas polis melancarkan pemeriksaan di rumah, setakat awal pagi tadi.
Dalam pada itu, kerajaan junta turut menyekat liputan media terhadap krisis di Myanmar apabila mengumumkan lesen lima syarikat media tempatan telah dibatalkan, iaitu Mizzima, DVB, Khit Thit Media, Myanmar Now dan 7Day News.
“Syarikat media ini tidak lagi dibenar untuk menyiarkan, menulis atau memberi maklumat menggunakan sebarang jenis platform mahupun teknologi media,” katanya melalui siaran MRTV.
Kesemua lima syarikat media berkenaan telah giat membuat liputan insiden tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa oleh tentera, dengan sering menyiarkan video dalam talian menerusi ‘streaming’ secara langsung.
Pihak berkuasa dilaporkan menyerbu pejabat Myanmar Now, semalam, sebelum pengumuman terbabit dibuat, manakala puluhan wartawan ditahan sejak rampasan kuasa itu Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa ratusan penunjuk perasaan yang ‘dihadang’ dalam kompleks pangsapuri di Yangon, Myanmar, dibebaskan dengan selamat.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, membuat desakan itu susulan ketegangan kian memuncak yang menyaksikan pasukan keselamatan Myanmar mengambil tindakan keras terhadap penunjuk perasaan antijunta.
Jurucakapnya, Stephane Dujarric, berkata Guterres menuntut pembebasan kesemua individu berkenaan secara selamat tanpa keganasan mahupun tangkapan, bersama kawalan maksimum.
“Ramai terperangkap dalam insiden itu adalah golongan perempuan yang berarak secara aman sempena Hari Wanita Antarabangsa,” katanya.
Menurut pejabat hak asasi PBB, polis didakwa mula melepaskan tembakan dan membuat tangkapan di Yangon kira-kira jam 10.00 semalam.
Bagaimanapun setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada penahanan berkenaan membabitkan mereka yang sedia terperangkap itu ataupun kumpulan penunjuk perasaan baru tiba.
Myanmar dibelenggu krisis sejak tentera melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran oleh segenap lapisan rakyatnya.
Pasukan polis dan tentera bertindak balas secara keras yang hingga kini menyaksikan lebih 50 individu maut, selain hampir 1,800 lagi diberkas.
“Kami menggesa supaya hak rakyat Myanmar dalam kebebasan berhimpun serta bersuara, dihormati ketika mereka mengadakan tunjuk perasaan secara aman dan menzahirkan harapan serta hasrat untuk masa depan tanah air mereka,” kata Dujarric.
Beliau turut memaklumkan, Guterres sudah menerima sepucuk surat daripada ‘utusan khas’ ke PBB yang dilantik sebuah jawatankuasa mewakili Parlimen Myanmar tetapi terpaksa bergerak secara rahsia berikutan rampasan kuasa itu.
“Setahu saya, kami belum ada sebarang kontak dengan individu itu. Namun, kami akan terus menghubungi pihak yang berkemungkinan ada kontak dengan beliau,” katanya.
Dalam surat terbabit yang dilihat AFP, utusan hanya dikenali sebagai Dr Sasa itu meminta Guterres menghubungi Majlis Keselamatan bagi membantu melindungi rakyat Myanmar daripada pencabulan hak asasi manusia yang berterusan.
Utusan itu turut mendesak supaya ‘sekatan tegas dan bersasar dikenakan – bukan hanya ke atas pemimpin tentera tetapi juga aset serta perusahaan tentera.’
Selain itu, surat bertarikh 4 Mac berkenaan mendesak pelaksanaan ’embargo senjata api yang sepenuhnya ke atas tentera bagi memastikan peralatan terbabit tidak terus dibekalkan ke kawasan sedang berdepan tindakan keras pasukan keselamatan.’
Dujarric berkata, pegawai PBB termasuk perwakilan khas untuk Myanmar, Christine Schraner Burgener, ‘sedang berhubung dengan Ahli Parlimen yang dipilih, sebagai sebahagian usaha kontak berterusan dengan pihak pemegang taruh utama.’ – AFP