
LIMBANG: Penunggang motosikal terus merekodkan jumlah kematian tertinggi dalam kemalangan jalan raya di negara ini apabila lebih 4,000 daripada 6,537 kematian akibat kemalangan maut pada tahun 2025 melibatkan golongan berkenaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai pendekatan bagi meningkatkan keselamatan kumpulan berisiko tinggi itu, termasuk program advokasi, pengagihan topi keledar, memperketat penguatkuasaan serta memperluaskan pendidikan keselamatan jalan raya.
“Seperti yang kita ketahui, jumlah kemalangan jalan raya kini semakin meningkat. Pada tahun 2025, sebanyak lebih 6,500 kemalangan maut direkodkan dan daripada jumlah itu, lebih 4,000 kematian membabitkan penunggang motosikal.
“Di Sarawak sahaja, lebih 300 kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya, dengan kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal, khususnya golongan belia dan orang muda berusia antara 16 hingga 30an.
“Usaha seperti program advokasi dan pemberian topi keledar ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap aspek keselamatan jalan raya. Belia yang ramai terkorban ini merupakan aset penting negara dan perlu dilindungi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Mini Kementerian Pengangkutan malays(MOT) Jom Gagar Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang, hari ini.
Beliau berkata, keselamatan jalan raya bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau agensi penguat kuasa, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pengguna jalan raya.
“Setiap nyawa amat bernilai dan setiap langkah pencegahan mampu menyelamatkan nyawa.
“Justeru, saya menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, mengamalkan budaya pemanduan berhemah serta memanfaatkan pelbagai program advokasi keselamatan yang disediakan oleh Kementerian Pengangkutan dan agensi di bawahnya,” katanya.
Mengulas mengenai program itu, Hasbi berkata ia menjadi platform penting untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia di kawasan utara Sarawak.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program dua hari itu, antaranya Karnival Kerjaya dan temu duga terbuka, kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Program MyLesen, pertukaran topi keledar, advokasi keselamatan jalan raya, Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan serta promosi aplikasi MyJPJ dan MyDigital ID.
Turut sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha MOT Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Fabian Bigar, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar MOT Dato Normah Osman dan tetamu lain.
Oleh Adeng Edrus