
KUCHING: Satu kemalangan jalan raya maut yang melibatkan motosikal berlaku kira-kira 10.15 malam tadi di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 20-an, dipercayai hilang kawalan motosikal sebelum tergelincir ke tepi jalan dan terhempas ke bahu kanan, manakala motosikalnya meluncur ke tengah jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak, di mana beliau disahkan meninggal dunia pada 11.11 malam semasa menerima rawatan,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Alexson menggesa orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Charlie Aloysius di talian 014-8682068 / 082-259900 atau balai polis berdekatan.
Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu dan sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas.
Oleh Connie Chieng