
MIRI: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal laindi Jalan Miri Bypass, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu menerusi satu kenyataan malam tadi memberitahu kemalangan tersebut berlaku pada 5.00 pagi.
“Kemalangan berlaku apabila seorang lelaki tempatan berumur 20 tahun yang menunggang motosikal di Jalan Miri Bypass, dari arah Vista Perdana ke arah lapangan terbang, telah hilang kawalan.
“Lelaki itu terjatuh di atas jalan raya dan pada masa sama telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah motosikal lain yang ditunggang oleh seorang remaja lelaki tempatan berumur 17 tahun.
“Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans Hospital Miri yang berada di lokasi kejadian,” katanya.
Alexson menambah, pihak polis masih menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.
Oleh Liong Chai Ling