KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Bulatan Jalan Setia Raja berhampiran One TJ, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian kira-kira 6.20 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC mengalami kecederaan parah di bahagian pinggul.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pada 10.31 pagi, mangsa disahkan meninggal dunia di Zon Merah HUS ketika sedang menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Saundri a/p Govinda Rajoo di talian 011-27549620 atau 082-259900.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Afiq Sallehi





