Penunggang motosikal maut dilanggar kereta di Batu 16

Facebook
WhatsApp
MANGSA maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta di Batu 16, Jalan Kuching-Serian semalam.

PADAWAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta di Batu 16, Jalan Kuching-Serian semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Barry William, berkata mangsa yang berusia 38 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz.

“Siasatan awal mendapati motosikal terbabit secara tiba-tiba menukar lorong dari kiri ke kanan. Tindakan itu menyebabkan pemandu kereta Honda City Hatchback yang sedang bergerak di lorong kanan tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian belakang motosikal berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya, manakala motosikalnya terbabas ke lorong kiri.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 8.57 malam oleh pembantu pegawai perubatan.

Pemandu kereta, seorang wanita berusia 30 tahun, dan penumpangnya, seorang wanita berusia 54 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Barry berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut menyita kedua-dua kenderaan untuk pemeriksaan oleh Puspakom dan Jabatan Kimia.

Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan utama dari arah Serian menuju ke Kuching.

Oleh Connie Chieng