

MUKAH: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 16, Jalan Mukah-Balingian di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian sekitar 11.45 pagi itu berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 60 tahun dari arah Balingian ke bandar Mukah mengalami kerosakan enjin sebelum berhenti secara tiba-tiba di lokasi kejadian.
“Susulan itu, sebuah motosikal yang ditunggang wanita berusia 21 tahun yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan dilanggar sebuah lori muatan logistik yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Mukah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Penipah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki, tangan dan badan, serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Mukah.
Menurutnya, pemandu pacuan empat roda dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Muhamad Rizal turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan lebih berhati-hati ketika memandu atau menunggang bagi mengelakkan kemalangan.
Oleh Tarani Lanting