SELANGAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dalam kemalangan kendiri di Kilometer 83, Jalan Pan Borneo Bintulu-Sibu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 6.00 pagi itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berkenaan membabitkan sebuah motosikal Yamaha berwarna biru yang ditunggang secara bersendirian oleh mangsa dari arah Bintulu menuju ke Selangau.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum motosikal yang ditunggangnya terbabas ke bahu kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke permukaan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Selangau.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Rahmat Jalimin, di talian 011-31627137 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Oleh Tarani Lanting





