Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Batu 8, Jalan Kelupu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTANGOR: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 8, Jalan Kelupu (Sungai Gemuan), kira-kira pukul 2.00 petang tadi.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan dari Klinik Bintangor.

Katanya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas yang ditunggang mangsa dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Pemandu Toyota Hilux berusia 35 tahun bersama dua penumpangnya masing-masing berusia 35 tahun dan 12 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Jenazah mangsa kemudiannya dibawa oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong ke Hospital Sarikei untuk proses dokumentasi dan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tansli berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Sibu menuju ke Bintangor gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Pemandu Toyota Hilux yang datang dari arah Bintangor menuju ke Sibu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan motosikal tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dan menunggang secara berhemah, memiliki lesen memandu yang sah, mematuhi had laju yang ditetapkan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan.

“Pengguna jalan raya juga perlu sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya ketika memandu atau menunggang bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek