
GUATEMALA CITY: Seorang penumpang dalam sebuah pesawat ringan dari Belize semalam menembak mati seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang bersenjatakan pisau dan cuba merampas pesawat, menurut kenyataan pihak polis di negara Caribbean itu.
Penyerang mengancam juruterbang selepas pesawat jenis Cessna Grand Caravan milik syarikat penerbangan Tropic Air itu berlepas pada waktu pagi bersama 14 penumpang dari bandar Coroza.
Pesawat itu sepatutnya menuju ke pulau San Pedro di Belize, namun penyerang lelaki itu mengarahkan juruterbang supaya menukar haluan ke luar negara, menurut Pesuruhjaya Polis, Chester Williams kepada saluran berita Channel 5.
Pesawat itu berlegar di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Belize City sebelum melakukan pendaratan kecemasan berikutan hampir kehabisan bahan api selepas penyerang menikam dua penumpang lain.
Seorang penumpang yang cedera itu memiliki senjata api sah dan melepaskan tembakan mengakibatkan perampas maut di tempat kejadian, menurut kenyataan pihak berkuasa dan laporan media tempatan.
Pihak polis mengenal pasti suspek sebagai Akinyela Sawa Taylor, seorang warga AS berusia 49 tahun yang dipercayai bekas anggota tentera.
Kedua-dua penumpang yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Kedutaan AS di Belize meluahkan rasa kesal berhubung insiden itu yang berlaku menjelang cuti panjang hujung minggu sempena perayaan Easter.
“Insiden ini benar-benar menyerlahkan betapa pentingnya aspek keselamatan dan perlindungan,” kata Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan, Luke Martin kepada wartawan.
Beliau berkata pihaknya mempunyai hubungan kerjasama yang kukuh dengan pasukan penguat kuasa undang-undang Belize dan dalam situasi sebegini kerjasama itu terbukti sangat penting berikutan pertukaran maklumat yang pantas antara kedua-dua pihak. – AFP