KUCHING: Penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Sarawak jelas mendapat sokongan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana telah memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato’ Sri Micheal Manyin menegaskan bahawa penubuhan sekolah tersebut tidak melanggar Akta Pendidikan 1996 kerana sekolah ini adalah sepenuhnya swasta dan bukan milik Sarawak.
Beliau membidas sekerasnya penyataan daripada Prosefor Teo Kok Seong ketika mengadakan sidang media yang di Baitul Makmur Petrajaya di sini, semalam.
Menurutnya, Sarawak adalah negeri yang sentiasa mematuhi undang-undang dan kami sentiasa berwaspada dan melakukan perancangan terperinci dalam melaksanakan setiap inisiatif dan program agar tidak bertentangan dengan undang-undang Malaysia.
“Kerajaan Sarawak melalui kementerian ini telah membuat pertimbangan dari pelbagai faktor dan mengkaji undang-undang yang relevan serta melakukan libat urus yang intensif dengan KPM dalam usaha mendirikan lima sekolah antarabangsa di sini,” katanya.
Beliau turut berkata, sekolah antarabangsa yang akan ditubuhkan ini adalah dimiliki dan diselenggara sepenuhnya oleh Sanjung Services Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Yayasan Sarawak berstatus swasta yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2006.
“Dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC Report) perenggan 17 menyebut… ‘walaupun pendidikan perkara 13(a) senarai Persekutuan dalam Jadual Kesembilan adalah bidang kuasa Persekutuan, dasar ketika ini dan sistem pentadbiran pendidikan di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak seharusnya tidak diganggu dan kekal di bawah kawalan Kerajaan Negeri sehingga kerajaan bersetuju sebaliknya.
“Lebih-lebih lagi, ‘(i) dasar sekarang di negeri-negeri Borneo berhubung penggunaan bahasa Inggeris seharusnya diteruskan…’.
“Maka, Seksyen 15 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) tidak termasuk pendidikan dalam sekolah antarabangsa dan kerajaan negeri jelas tidak pernah tersasar daripada polisi seperti yang termaktub dalam laporan tersebut,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Manyin turut menyatakan Sarawak tidak perlu mengimport guru British bagi tujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.
“Kita (Sarawak) mempunyai tenaga pengajar berkelayakan yang mencukupi dan mempunyai standard yang sama seperti mereka (British), maka gunakanlah khidmat guru tempatan sepenuhnya,” tambahnya.
Terdahulu, Teo dengan lantang mengatakan pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan langkah membenarkan penubuhan sekolah antarabangsa milik Kerajaan Sarawak adalah bercanggah dengan Akta Pendidikan yang mengkehendaki Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar.
Teo juga berkata, Kerajaan Sarawak tidak perlu membina sekolah antarabangsa, bahkan perlu mengimport guru British sekiranya memerlukan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di negeri ini.
Oleh Akmal Adib Yusup