MUKAH: Penubuhan agensi pembangunan wilayah oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah langkah terbaik bagi membangunkan kawasan terutama di luar bandar.
Penyandang merangkap calon GPS bagi kerusi Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata antaranya ialah Agensi Pembangunan Delta Rejang (RADDA) yang turut membabitkan kawasan Mukah.
“Melalui agensi ini kita semua akan beperanan untuk menentukan apa jenis pembangunan yang sesuai untuk kawasan kita supaya dapat dilaksanakan oleh kerajaan.
“RADDA akan melengkapkan rancangan dan program pembangunan yang dirancang oleh agensi atau kementerian untuk memanfaat rakyat,” katanya berucap pada Majlis Bersama Rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 57 Tellian di Dewan Kampung Kuala Lama Mukah di sini malam kelmarin.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Hanifah berkata GPS mengambil langkah proaktif dengan penubuhan agensi wilayah itu untuk memastikan seluruh kawasan di Sarawak akan dibangunkan seperti yang diharapkan.
“Kita difahamkan ia memberri fokus terhadap penyediaan infrastruktur asas luar bandar seperti bekalan air, elektrik, jalan raya serta liputan internet, selain pelan jangka pendek dan panjang untuk mentrasformasikan kawasan luar bandar demi keselesaan dan kemakmuran rakyat,” katanya.
Sementara itu, Royston dalam ucapannya berkata pelbagai projek pembangunan sedang dirancang untuk kawasan DUN Tellian termasuk program perumahan dan tebingan yang bakal dilaksanakan.
“Saya akan terus bekerjasama dengan Dato Hanifah untuk memastikan apa juga program pembangunan demi kesejahteraan rakyat di kawasan ini terlaksana,” katanya.
Beliau juga menasihatkan supaya golongan ibubapa yang mempunyai pengalaman mengundi dalam pilihan raya sebelum ini, membimbing anak muda dalam kalangan usia 18 ke atas mengenai cara mengundi dengan betul.
“Terangkan kepada anak muda pentingnya menunaikan tanggungjawab itu sebagai rakyat . Turunlah beramai-ramai dan undilah calon nombor satu, GPS kita ini,” katanya.
Oleh Henry B Siyu