Penubuhan MPN disokong penuh untuk pembangunan pendidikan negara

Facebook
WhatsApp
CHIEW Choon Man menyatakan sokongan penuh terhadap penubuhan Majlis Pendidikan Negara (MPN).

MIRI: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, menyatakan sokongan penuh terhadap penubuhan Majlis Pendidikan Negara (MPN) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang bertujuan menyelaras dasar dan pelaksanaan pendidikan secara menyeluruh di negara ini.

Menurut beliau, sistem pendidikan negara tidak seharusnya digalas oleh satu kementerian semata-mata kerana pendidikan merentas pelbagai aspek kehidupan dan menjadi tunjang kepada kemajuan tamadun moden.

“Untuk melaksanakan transformasi menyeluruh, kita memerlukan platform penyelarasan tertinggi yang menghimpunkan semua usaha agar sistem pendidikan negara setara dengan tahap maju, sesuai dengan realiti generasi masa kini dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Chiew menegaskan bahawa pendidikan mesti bersifat inklusif dengan penglibatan pakar dari pelbagai bidang seperti sains, sukan, TVET, keusahawanan dan kebajikan kanak-kanak dalam proses penggubalan dasar.

Beliau turut menekankan pentingnya wakil kerajaan Sarawak dan Sabah diberikan tempat dalam keanggotaan MPN bagi memastikan pandangan dan keperluan unik negeri-negeri berkenaan diambil kira, terutama melibatkan jurang bandar-luar bandar, akses digital, serta perbezaan budaya dan bahasa.

“Suara dan realiti tempatan perlu diterjemah terus ke dalam keputusan dasar agar setiap pembaharuan benar-benar mengubah pengalaman murid, guru dan ibu bapa di lapangan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa MPN akan berperanan menyelaras dasar dan pelaksanaan pendidikan merentas kementerian serta menentukan hala tuju strategik pembangunan sistem pendidikan negara.

KPM kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyediakan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bersama yang telah dibentangkan pada pertengahan September lalu.

Selain KPM dan KPT, MPN dicadang melibatkan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Belia dan Sukan; serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Turut dicadang, penglibatan tokoh akademik, wakil industri, NGO dan GLC.

Chiew menegaskan komitmennya untuk terus membawa suara rakyat Sarawak dan Sabah dalam setiap libat urus berkaitan penubuhan MPN.

“Saya menyambut baik usaha KPM, KPT dan semua pihak yang menggerakkan inisiatif ini. Semoga MPN menjadi pemangkin kepada sistem pendidikan yang lebih bersepadu, adil dan cemerlang untuk seluruh anak Malaysia,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Empat pasukan mara separuh akhir PSDC 2026

KUCHING: Empat pasukan mara ke peringkat separuh akhir Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (Premier of Sarawak Debate Challenge Cup/PSDC) 2026 selepas

Misteri Penjaga Rimba Purba

MALAM melabuhkan tirainya, membalut gelap belantara dengan seribu rahsia. Di celah-celah pokok besar tersembunyi ilmu dan bisikan roh purba. Gabungan