Penubuhan Biro Wanita buka lembaran baharu komuniti Rumah Junis

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing bersama Tuai Rumah Junis melakukan upacara Ngiling Tikai. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Penubuhan Biro Wanita Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Junis di Sungai Kelupu membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasakan peranan wanita sebagai pemacu pembangunan komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata penubuhan biro tersebut diyakini mampu memperluas penglibatan wanita dalam pelbagai bidang termasuk kemasyarakatan, ekonomi dan pembangunan sosial.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Junis atas penganjuran program ini yang bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah turut memperkukuh kerjasama antara penduduk setempat dengan pemimpin masyarakat.

“Saya juga mengucapkan tahniah atas penubuhan Biro Wanita JKKK Rumah Junis yang diyakini mampu memainkan peranan penting dalam memperkasakan golongan wanita melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, ekonomi dan pembangunan sosial,” katanya.

BIRO Wanita JKKK Rumah Junis bergambar bersama Datuk Ding Koung Hiing. Foto Pusat Khidmat Meradong

Kuong Hiing berkata demikian ketika berucap pada program Ngiling Tikai dan perasmian Biro Wanita JKKK Rumah Junis semalam.

Katanya, penglibatan aktif wanita dalam organisasi komuniti amat penting bagi memastikan pembangunan masyarakat dilaksanakan secara lebih inklusif, seimbang dan mampan.

“Wanita mempunyai peranan besar dalam menggerakkan pelbagai program yang mampu meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kawasan secara keseluruhan.

“Saya akan terus menyokong segala usaha yang dapat memperkukuh pembangunan komuniti di kawasan DUN Meradong menerusi kerjasama erat dengan JKKK serta pertubuhan masyarakat,” katanya.

Beliau berharap semangat perpaduan, kerjasama dan sikap saling membantu yang dipupuk menerusi program Ngiling Tikai akan terus menjadi asas kepada keharmonian masyarakat di Rumah Junis.

Oleh Earl Anek