SYDNEY: Mangsa tembakan maut di pinggir bandar utara Melbourne hari ini, dikenal pasti sebagai penjenayah dunia bawah tanah yang dikenali sebagai “The Punisher”, lapor Xinhua.
Suleiman “Sam” Abdulrahim, 32, yang juga peninju dilaporkan ditembak oleh beberapa penyerang di tempat letak kereta bawah tanah sebuah hotel di Preston, 9 kilometer (KM) di utara pusat Melbourne, kira-kira jam 10.30 pagi waktu tempatan.
Detektif Skuad Pembunuhan Polis Victoria, Inspektor Dean Thomas memberitahu pemberita petang tadi, bahawa Abdulrahim meninggal dunia di tempat kejadian selepas seorang wanita, dipercayai teman wanitanya dan polis serta kru ambulans cuba melakukan pertolongan cemas.
Beliau berkata, polis percaya pelaku serangan yang disasarkan itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan berwarna putih.
“Polis sedang menyiasat sama ada Porsche terbakar yang ditemukan kemudian di pinggir bandar berdekatan dikaitkan dengan pembunuhan itu,” katanya.
Abdulrahim, yang sebelum ini menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kemalangan maut, sebelum ini terselamat daripada beberapa cubaan membunuhnya.
Pada 2022, dia ditembak lapan kali di dada dan perut, di tanah perkuburan di utara Melbourne.
Pada Mei 2024, dia terlepas daripada kecederaan apabila beberapa das tembakan dilepaskan ke arahnya ketika dia meninggalkan rumahnya.
Akhbar Nine Entertainment melaporkan hari ini bahawa Abdulrahim baru-baru ini bersembunyi melarikan diri selepas ganjaran hadiah A$1 juta (AS$625,532) terhadap nyawanya.
Thomas pada Selasa berkata, polis sebelum ini telah berbincang dengannya mengenai keselamatannya dan para penyiasat akan cuba mengenal pasti bagaimana penembak dapat mengetahui lokasinya. – BERNAMA-XINHUA