
SIBU: Seorang wanita mengalami kerugian RM44,000 setelah terperdaya dengan pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berumur dalam lingkungan 40-an merupakan penjawat awam telah melayari aplikasi facebook dan terlihat satu iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan pelaburan yang tinggi dalam masa singkat.
“Mangsa yang berminat dengan iklan tersebut telah diminta untuk mengisi link yang diberikan iaitu
https.uoagroup.net.person.html. Dalam link ini, mangsa telah mengisi maklumat peribadi dan
maklumat akaun bank,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang mula percaya dan ingin mendapatkan keuntungan seperti yang dijanjikan
membuat pemindahan wang sebanyak enam kali transaksi secara kesuluruhan sejumlah RM44,000 ke dalam empat akaun tempatan yang berlainan.
“Mangsa mula menyedari telah ditipu apabila ingin mengeluarkan dividen tetapi diminta membuat bayaran sebanyak RM13,000 atas alasan mendaftar nombor kad pengenalan mangsa ada tersilap satu nombor.
“Melihat arahan yang meragukan dan dinasihatkan oleh rakan telah terlibat dengan sendiket penipuan mangsa mula sedar ditipu,” ujarnya.
Oleh Akun Giman