SIBU: Kira-kira 1,000 peniaga kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka disasarkan untuk mengikuti kursus keusahawanan di bawah Program Pemerkasaan Komuniti Berilmu pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, kursus pendek itu merangkumi empat modul iaitu asas keusahawanan, pengurusan kewangan, pemasaran digital dan kanvas perniagaan.
Menurutnya, setiap modul berlangsung selama lima jam, dengan peserta dikenakan bayaran RM1 sejam.
“Penjaja harus diperkasakan dengan pengetahuan baharu untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Komuniti Berilmu; Jaringan Pembelajaran Sepanjang Hayat Memperkasa Bakat Komuniti N.55 Nangka, hari ini.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berterima kasih kepada Kolej Komuniti Sarikei cawangan Sibu kerana membantu kawasannya (Nangka) menjalankan kursus pendek bagi memperkasakan penjaja dengan ilmu pengetahuan.
“Tahun lalu, seramai 611 peserta dari DUN Nangka telah mendaftar untuk kursus pendek ini. Pada masa ini seramai kira-kira 1,000 penjaja di Nangka masih belum menghadiri kursus ini,” katanya.
Dr Annuar juga berkata, mana-mana penjaja di kawasan DUN Nangka yang meminta bantuan untuk menjalankan perniagaan akan diwajibkan mengikuti kursus yang dikendalikan oleh Kolej Komuniti Sarikei cawangan Sibu.
“Amat penting untuk penjaja tepi jalan mendapatkan lesen berikutan jumlah yang semakin meningkat terutama pada Ramadan” katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Kolej Komuniti Sarikei dan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu, Zakir Hussain Ibrahim dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi.
Oleh AKUN GIMAN