
SIBU: Penjagaan kesihatan mental perlu menjadi keutamaan dalam setiap pelan pemulihan bencana bagi memastikan mangsa bukan sahaja pulih secara fizikal, tetapi juga dari segi emosi dan psikologi.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, setiap tahun ribuan penduduk di Sarawak berdepan kesan banjir yang bukan sahaja memusnahkan harta benda, malah meninggalkan trauma dan tekanan emosi yang berpanjangan.
“Pada awal tahun ini, lebih 12,000 orang di seluruh Sarawak terpaksa berpindah akibat banjir, termasuk lebih 1,000 di Sibu.
“Di sebalik angka itu terdapat insan sebenar yang berdepan ketakutan, kehilangan dan kesusahan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Penghulu Ting Tien Huat pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 bertemakan “Akses kepada Kesihatan Mental dalam Bencana dan Kecemasan” di Methodist Pilley Institute, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, Bantuan Psikologi Awal (PFA) adalah antara pendekatan yang berkesan dalam membantu mangsa bencana untul mendapatkan sokongan emosi dan membantu mendapatkan pertolongan yang sesuai.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melatih ramai petugas barisan hadapan dan sukarelawan dalam bidang PFA, dan kajian menunjukkan ia benar-benar membantu mereka bertindak dengan lebih yakin dan empati.
“Di Sibu, pasukan hospital, para sukarelawan dan agensi tempatan telah melaksanakan pendekatan ini dengan berkesan. Usaha senyap mereka dengan mendengar, membimbing dan menenangkan masyarakat telah menjadi sumber kekuatan kepada komuniti kita.
“Hari ini turut disertai oleh pelbagai rakan kerjasama jabatan kerajaan, sekolah, NGO, pertubuhan keagamaan serta penaja swasta. Setiap satu memainkan peranan penting sama ada melalui ceramah kesedaran, sesi kaunseling, aktiviti komuniti atau sekadar tenaga dan dorongan.
“Bersama-sama, anda semua membuktikan bahawa kesihatan mental adalah tanggungjawab semua pihak,” katanya.
Pada majlis tersebut, Ting turut menyerahkan peruntukan sebanyak RM20,000 daripada Tiang kepada Jabatan Psikiatari san Kesihatan Mental Hospital Sibu.
Oleh Akun Giman