
MIRI: Ancaman jenayah siber dan penipuan dalam talian (scam) yang semakin berleluasa dan menyasarkan individu tanpa mengira latar belakang topik utama pada Majlis Perhimpunan Hospital Miri semalam.
Majlis tersebut turut menjadi platform untuk mengingatkan orang ramai agar tidak panik, tidak berkongsi maklumat peribadi serta sentiasa membuat semakan sebelum mempercayai sebarang panggilan atau mesej yang mencurigakan.
Majlis yang berlangsung di Bilik Seminar Kejururawatan itu disempurnakan oleh Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong Siew Yu, dengan kehadiran kakitangan hospital daripada pelbagai jawatan dan bahagian.
Sebagai salah satu pengisian utama, sesi taklimat bertajuk ‘Trend Terkini Jenayah Komersil’ telah disampaikan oleh Inspektor Ramakrishna A/L Raman dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Menurut kenyataan pihak Hospital Miri, taklimat ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan langkah pencegahan dalam kalangan warga hospital agar mereka tidak menjadi mangsa penipuan siber.
Selain itu, terdapat juga Sesi X-Break yang telah dipimpin oleh Unit Fisioterapi iaitu Awardthyner Elias Aun bersama Mac Makisya Sudin dan Kathelene Kemei.
“X-Break merupakan aktiviti fizikal ringkas selama tiga hingga lima minit yang dilaksanakan selepas duduk terlalu lama, khususnya melebihi dua jam,” jelas jurucakap unit tersebut.
Antara pengisian lain ialah tayangan montaj bertajuk ‘Dari Lensa Hospital Miri’ serta penyampaian sijil penghargaan kepada pasukan terbaik Top Team Hospital Miri.
Oleh Adum Liu