
KUCHING: Lelaki tempatan berusia 56 tahun mendakwa telah diperdaya selepas mempercayai bahawa beliau memperoleh projek membekal dan memasang sistem solar untuk Jabatan Pertanian Sarawak, sehingga mengalami kerugian sebanyak RM268,840.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan bahawa pihak polis sedang menyiasat satu kes melibatkan projek pembekalan solar dalam talian yang tidak wujud.
Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku pada Januari 2026 kira-kira 7.00 malam ketika mangsa berada di rumah sebelum dihubungi oleh seorang individu yang menawarkan projek berkenaan.
“Mangsa kemudiannya menerima dokumen yang kelihatan seperti pesanan pembelian rasmi kerajaan melalui aplikasi WhatsApp. Setelah mempercayai tawaran tersebut sebagai sah, mangsa telah membuat enam transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank yang berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM268,840,” katanya.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas panel solar yang dijanjikan tidak pernah dihantar.
Alexson berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan tidak jujur mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atau projek yang diiklankan di media sosial dan sentiasa membuat semakan sebelum sebarang pembayaran dilakukan.
“Orang awam digalakkan mengesahkan syarikat dan laman sesawang melalui Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my atau BNM Telelink di talian 1300 88 5465, serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di www.sc.com.my atau 03-6204 8999,” katanya.
Alexson turut menggesa mangsa penipuan siber seperti penipuan telefon, penipuan cinta, penipuan dagangan dalam talian atau tawaran pinjaman tidak wujud supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mereka baru sahaja membuat pemindahan dana ke akaun bank atau e-dompet milik suspek.
Oleh Connie Chieng