
KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan berusia 80 tahun kerugian RM103,850 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan perniagaan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menerima laporan berkaitan kes penipuan pelaburan palsu tersebut.
Menurutnya, mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp sekitar Ogos 2025 ketika berada di kediamannya.
“Suspek mendakwa menjalankan perniagaan di Pattaya, Thailand sebelum menawarkan peluang kepada mangsa untuk menjadi rakan niaga dalam pelaburan ‘Wholesale International Business Online’ menerusi satu laman sesawang yang dikendalikan suspek,” katanya.
Alexson berkata mangsa berminat dengan tawaran tersebut lalu diarahkan membuat beberapa transaksi pembayaran kononnya bagi tujuan pelaburan dengan janji modal serta keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun pelaburan milik mangsa.
“Bermula September 2025 hingga Februari 2026, mangsa telah membuat lapan transaksi pembayaran ke enam akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM103,850,” katanya.
Mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi suspek untuk mendapatkan semula wang miliknya.
Menurut Alexson, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati hati dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan serta membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi.