
MIRI: Jumlah pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini mencatat peningkatan ketara sebanyak 169 peratus dalam tempoh sedekad.
Peningkatan ini sekali gus mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan pendaftaran serta akses kepada bantuan yang disediakan kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah pendaftaran meningkat daripada 302,802 individu pada 2015 kepada 814,966 pada 2025.
Menurut beliau, peningkatan itu bukan sahaja menggambarkan pertambahan bilangan individu berdaftar, malah mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan dan agensi berkaitan dalam memperluas liputan perkhidmatan serta memperkukuh sistem sokongan kepada golongan berkenaan.
“Namun, kita tidak boleh hanya melihat angka semata-mata, sebaliknya perlu memahami keperluan sebenar di sebalik setiap kategori OKU kerana setiap individu mempunyai cabaran dan potensi berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari OKU 2026 (SHOKU2026) Peringkat Zon Utara Sarawak, di sini malam tadi.
Lee menegaskan pendekatan ‘satu kaedah untuk semua’ tidak lagi memadai dalam menangani isu berkaitan OKU, sebaliknya memerlukan strategi lebih tersasar meliputi aspek pendidikan, kesihatan, kemahiran, kebolehaksesan dan peluang pekerjaan.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan intervensi awal khususnya bagi kanak-kanak berkeperluan khas melalui penyediaan lebih banyak pusat pendidikan khas yang tersusun, inklusif dan kondusif.


Katanya, pusat pendidikan khas bukan sahaja berperanan sebagai tempat pembelajaran, malah menjadi platform penting dalam membina kemahiran sosial, komunikasi serta keupayaan berdikari dalam kalangan kanak-kanak tersebut.
“Usaha memperbanyakkan pusat pendidikan khas perlu diperkukuh melalui kerjasama kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan sistem sokongan yang menyeluruh dan mampan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut memuji inisiatif Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang menyediakan Program Latihan Kemahiran Inklusif untuk belia autisme dan berkeperluan khas, termasuk latihan dalam bidang asas pembuatan roti dan pastri.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran mesra OKU, sokongan kaunseling serta pelan akses inklusif yang disediakan merupakan langkah progresif dalam memperkasa potensi golongan tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak institusi pengajian dan pusat latihan tampil menawarkan program bersesuaian bagi membantu golongan berkeperluan khas mengembangkan bakat dan keupayaan masing-masing.
Dalam pada itu, Lee turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang disifatkan sebagai tulang belakang dalam memastikan kebajikan golongan OKU terus terpelihara.
Beliau berkata, tahun ini amat bermakna apabila JKM menyambut ulang tahun penubuhan ke-80 sejak ditubuhkan pada April 1946, sekali gus mencerminkan peranan penting jabatan itu dalam pembangunan sosial negara.
“Marilah kita bersama-sama membina masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang, di mana tiada sesiapa yang tercicir,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling