
KUALA LUMPUR: Larangan terhadap penggunaan produk vape perlu segera dikenakan di seluruh negara bagi menangani peningkatan risiko kesihatan dan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan belia, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata berdasarkan data polis, rampasan cecair vape yang dicampur dadah meningkat 32 peratus manakala Kementerian Kesihatan (KKM) pula mendedahkan bahawa 65.6 peratus daripada cecair vape yang dirampas dalam tempoh dua tahun lepas mengandungi dadah berbahaya.
“Peraturan sedia ada jelas tidak berkesan dan sering tidak diendahkan. Satu-satunya jalan paling berkesan ialah pengharaman sepenuhnya di peringkat Persekutuan, walaupun ia terpaksa dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata beberapa negeri telah mengharamkan penjualan vape tetapi peraturan yang berbeza di setiap negeri menyukarkan untuk menangani masalah itu.
Beliau mencadangkan supaya umur minimum pembelian dinaikkan dan penguatkuasaan diperketatkan sebagai langkah serta-merta, di samping pelaksanaan pengesahan umur yang ketat, hukuman berat terhadap penjualan kepada individu bawah umur serta kempen pendidikan awam yang lebih giat di sekolah dan komuniti.
Beliau turut memberi amaran bahawa menghisap vape mengundang risiko kesihatan yang serius kepada golongan muda kerana tubuh dan otak mereka masih dalam proses untuk berkembang.
“Nikotin membawa gejala ketagihan dan amat berbahaya kepada remaja. Ia menjejaskan perkembangan otak, termasuk keupayaan untuk belajar, mengingat dan memberi tumpuan. Aerosol juga boleh merengsakan paru-paru seterusnya menyebabkan masalah penafasan,” katanya.
Lee berkata banyak produk vape tidak diuji dengan betul, jadi pengguna mungkin menyedut bahan kimia berbahaya seperti logam berat dan karsinogen.
Beliau berkata kajian yang mengaitkan menghisap vape dalam kalangan remaja dengan kecenderungan merokok pada kemudian hari, selain tabiat ketagihan nikotin dan potensi pendedahan kepada bahan terlarang, menjadi alasan yang kukuh untuk tindakan segera dilakukan.
“Kita cuba elak daripada bersikap menghukum sebaliknya kita perlu mendekati golongan muda ini, memahami alasan mereka menghisap vape dan menekankan manfaat kesihatan apabila menghentikan tabiat tersebut,” katanya.
Beliau berkata pihak sekolah juga digalakkan menganjurkan ceramah, kempen kesedaran dan menawarkan aktiviti alternatif yang lebih sihat seperti sukan, pengakap dan debat, serta menegaskan bahawa rakan sebaya yang positif turut memainkan peranan penting dalam usaha pencegahan. — Bernama