
BINTULU: Usaha menaik taraf kemudahan di Kelab Golf Bintulu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan golf di bahagian ini sekali gus meningkatkan penyertaan masyarakat dalam sukan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, proses tender bagi pembinaan rumah kelab baharu yang telah bermula menandakan komitmen berterusan dalam menyediakan kemudahan yang lebih berkualiti kepada komuniti golf.
Menurut beliau, kemudahan yang lebih moden dan selesa mampu mewujudkan persekitaran kondusif kepada ahli kelab, pemain serta pengunjung, di samping menarik minat lebih ramai golongan muda.
“Rumah kelab baharu ini akan memberi kemudahan yang lebih baik kepada komuniti golf di Bintulu.
“Saya berharap pembangunan ini akan membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat khususnya generasi muda untuk mengenali dan menyertai sukan golf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Igat Cup 2026 dan Sambutan Ngiling Bidai di Kelab Golf Bintulu di sini, hari ini.
Tambahnya, penganjuran kejohanan seperti Igat Cup turut menyumbang kepada perkembangan sukan golf menerusi penyertaan pemain daripada pelbagai latar belakang serta mengukuhkan hubungan dalam kalangan komuniti.
Justeru, Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Golf Igat jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang menjayakan kejohanan tersebut.
Pada masa sama, beliau berharap pembangunan kemudahan dan penganjuran kejohanan secara konsisten akan terus memperkukuh kedudukan Kelab Golf Bintulu sebagai antara pusat aktiviti golf di Sarawak.
Oleh Carolyne Utih