KUCHING: Seorang peniaga kedai perubatan tradisional mengalami kerugian RM1.4 juta selepas ditipu pelaburan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan lumayan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia 40 tahun itu telah ditawarkan satu pelaburan mata wang kripto oleh kenalan yang dikenali menerusi aplikasi Weibo pada 1 Februari lalu.
”Kenalan mangsa telah memberikan satu pautan (link) wbex melalui aplikasi Whatsapp kepada mangsa. Mangsa melalui link tersebut telah mendaftar butiran peribadi seperti nama, alama emel, nombor telefon, gambar kad pengenalan dan nombor akaun bank.
”Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut kerana dijanjikan pulangan yang tinggi dalam graf pelaburan yang terdapat dalam aplikasi tersebut,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di jalan badruddin, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, katanya, mangsa telah membuat 34 transaksi pembayaran kepada 25 akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM1.4 juta dalam tempoh dari 1 Februari hingga 5 Mei lalu.
”Mangsa hanya mendapat satu kali pulangan pelaburan berjumlah RM3,260 pada awal pelaburan iaitu pada 1 Februari lepas.
”Mangsa kemudian sedar dirinya ditipu setelah tidak lagi menerima pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis pada 18 Mei,” tambahnya yang turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran skim pelaburan secara dalam talian.
Selain itu, orang ramai yang menjadi mangsa diingatkan untuk membuat laporan kepada Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 untuk membuat tindakan pantas menyekat wang yang telah diserahkan kepada sindiket penipuan.
Sementara itu, katanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak mencatatkan 67 kes dari tempoh 1 Januari hingga 30 April tahun ini membabitkan kerugian RM5.9 juta.
Dalam tempoh yang sama tahun lepas, JSJK Sarawak merekodkan 66 kes penipuan membabitkan kerugian RM2.8 juta.
“Ini adalah peningkatan kerugian sebanyak RM3.1 juta,” kata Mohd Azman sambil menambah polis telah menahan 18 suspek dan membuka 28 kertas siasatan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA