
KUCHING: Penggunaan S Pay Global, e-dompet milik kerajaan Sarawak, yang kini semakin meluas telah memberikan banyak manfaat kepada peniaga, khususnya dalam meningkatkan kecekapan operasi serta memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah.
Pengarah Lok Thian Group Eugene Hu berkata peralihan ke arah pembayaran tanpa tunai sebahagian besarnya dipacu oleh golongan muda, yang lebih cenderung kepada pilihan pembayaran kendiri yang lebih pantas dan mudah berbanding wang tunai serta kad kredit.
Beliau berkata peningkatan penggunaan pembayaran digital amat menguntungkan peniaga, khususnya dalam sektor makanan dan minuman kerana ia membantu mengurangkan masa menunggu di premis, yang faktor pantas dan mudah menjadi keutamaan.

“Pelanggan muda cenderung memilih pembayaran kendiri kerana ia mempercepatkan transaksi dan mengelakkan mereka daripada beratur semasa membuat pembayaran,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Hu berkata sesetengah pelanggan kini menyelesaikan pembayaran ketika mereka masih menjamu selera, yang secara tidak langsung memendekkan tempoh makan dan membolehkan pertukaran meja lebih cepat.
Beliau berkata ciri seperti rekod transaksi turut menggalakkan penggunaan e-dompet kerana ia lebih telus dan memudahkan kedua-dua pihak iaitu pelanggan serta peniagak menjejaki perbelanjaan mereka.
Dari segi perniagaan, Hu berkata pembayaran melalui e-dompet bukan lagi pilihan sebaliknya satu keperluan untuk kekal berdaya saing, kerana peniaga berisiko kehilangan pelanggan jika tidak menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
Beliau berkata penggunaan S Pay Global melancarkan operasi harian dengan pengesahan pembayaran secara serta-merta, penyelesaian yang lebih pantas serta kurang pengendalian wang tunai, di samping meningkatkan imej perniagaan yang moden dan berorientasikan pelanggan.

Sementara itu, peniaga kedai alat muzik di Kuching, Chang Chaik Chiong, 47, berkata selain lebih mudah, penggunaan S Pay Global juga selamat dan meningkatkan kecekapan bagi pelanggan mahupun peniaga.
Berkongsi pengalaman, beliau berkata peralihan kepada pembayaran tanpa tunai telah diterima baik kerana ia lebih praktikal dalam urus niaga harian.
“Banyak pelanggan kini lebih gemar menggunakan S Pay Global kerana mereka tidak perlu lagi membawa sejumlah wang tunai atau kerap ke ATM (Mesin Teller Automatik).
“Pelanggan juga berasa lebih selamat kerana tidak perlu membawa wang tunai. Jika wang hilang, ia lenyap begitu sahaja tetapi dengan sistem tanpa tunai, risiko itu dapat dikurangkan,” katanya, sambil menambah kurang mengendalikan wang tunai turut menjadikan operasi lebih lancar dan selamat.
Chang, yang mengusahakan Zoso Music Sdn Bhd, berkata penggunaan sistem tanpa tunai berkembang pesat selepas pandemik COVID-19 kerana orang ramai semakin peka tentang kebersihan.
“Mereka khuatir kuman yang melekat pada wang fizikal. Justeru, pembayaran tanpa tunai menjadikan transaksi lebih bersih dan selamat,” katanya.
S Pay Global merupakan platform pembayaran digital yang bermatlamat mengubah ekosistem kewangan Sarawak dan membawa negeri itu ke era digital.
Pada asalnya ia dilancarkan sebagai Sarawak Pay sebelum ditukar nama kepada S Pay Global. Aplikasi e-dompet itu dibangunkan oleh SiliconNet Technologies Sdn Bhd dan diperkenalkan pada 2017 sebagai sebahagian daripada inisiatif digitalisasi yang lebih meluas.
Platform yang merupakan satu daripada inisiatif utama kerajaan Sarawak, kini telah diperluas dengan ciri tambahan dan digunakan untuk menyalurkan bantuan kepada orang ramai, seterusnya meningkatkan penggunaan dalam kalangan masyarakat.
S Pay Global menyokong DuitNow QR, piawaian pembayaran respons pantas (QR) Malaysia, yang membolehkan pengguna mengimbas dan membuat pembayaran dengan transaksi yang pantas, selamat dan boleh digunakan merentasi bank dan e-dompet.
-Bernama