RAUB: Seorang peniaga pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Kemboja bagi tujuan eksploitasi buruh paksa sejak 2018.
Abdullah Abd Rahman, 56, dari Taman Sri Siantan, Bentong didakwa melakukan perbuatan itu antara 12 Mac 2018 hingga April lalu di rumahnya terhadap Mariam, 23, yang masuk ke Malaysia menggunakan pas sosial, untuk menjaga ahli keluarga tertuduh yang uzur.
Dia didakwa mengikut Seksyen 13(b) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menetapkan 24 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan Abdullah diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanannya kepada mahkamah.
Terdahulu, peguam Suzanawati Ismail merayu supaya jumlah jaminan RM50,000 yang ditawarkan pendakwaan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak sihat kerana menghidap pelbagai penyakit dan hanya memiliki RM8,000 bagi tujuan ikat jamin semalam.
“Mangsa juga difahamkan sudah ditempatkan di rumah perlindungan maka adalah mustahil untuk tertuduh mengganggu mangsa jika mahkamah membenarkan jaminan,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalili.– Bernama