SARIKEI: Sebanyak enam aduan pengguna berkenaan harga penutup hidung dan mulut diterima dan disiasat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei sejak Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dilaksanakan sehingga semalam.
Ketua KPDNHEP Sarikei, Mohamad Zawawi menegaskan akan membuat tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga penutup hidung dan mulut secara tidak munasabah di dalam situasi orang ramai memakainya sebagai langkah keselamatan dan pencegahan dari wabak Covid-19.
“Tindakan tegas ini adalah melalui Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.
“Pemeriksaan di dua pasaraya utama di Sarikei iaitu Gafu Supermarket dan Everwin Economic Mart mendapati ada bekalan dan harga yang dijual adalah RM1.50 seunit atau RM75.00 (50 unit) bagi penutup hidung dan mulut (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media, pagi semalam.
Katanya, sebarang perlanggaran di bawah peruntukan akta ini peniaga boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Bagi individu yang melanggar akta ini, mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM 100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM 50,000.
“Untuk syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Pihak kementerian memohon kerjasama dan perhatian pihak yang terlibat dalam pembekalan dan penjualan penutup hidung dan mulut agar membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum penutup hidung dan mulut yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya.
Tambahnya, pihak KPDNHEP juga akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan masyarakat pengguna di luar sana dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan.
“Para pengguna juga dinasihatkan supaya membeli barangan secara berhemah, menjarakkan diri ketika membuat pembelian dan tidak melakukan pembelian panik kerana stok barangan keperluan mencukupi semasa fasa ketiga PKP dilaksanakan,” katanya lagi.