
SARIKEI: Semua peniaga di bawah pentadbiran Majlis Daerah Sarikei (MDS) diwajibkan memiliki lesen perniagaan sah sebelum memulakan operasi, tegas Pengerusi MDS, Kaunselor Stephen Wong Kie Yong.
Katanya, menjalankan perniagaan tanpa lesen adalah satu kesalahan di bawah undang-undang MDS dan boleh dikenakan tindakan tegas.
“Perkara ini menjadi kewajiban peniaga yang berniaga di kawasan pentadbiran MDS untuk mempunyai lesen perniagaan sebelum memulakan perniagaan.
“Peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah menjadi kesalahan di bawah undang-undang MDS,” katanya di sidang media bertempat di Dewan Mesyuarat MDS, hari ini.
Tambahnya, pemprosesan lesen-lesen di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak diproses mengikut garis panduan baharu, iaitu Penyeragaman Permohonan Lesen Operasi PBT di Sarawak yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkuatkuasa 24 Mac 2025.
“Prosedur baharu ini diperkenalkan bagi mempercepatkan proses kelulusan lessen bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memudahkan urusan perniagaan di seluruh Sarawak.
“Sebelum ini, tempoh kelulusan lesen mengambil masa sehingga tiga bulan dan juga tiada keseragaman dalam permohonan lesen di PBT Sarawak.
“Wujudnya prosedur baharu, lesen berisiko rendah kini boleh diluluskan dalam tempoh tiga hingga 14 hari bekerja manakala lesen berisiko tinggi dalam tempoh 15 hingga 60 hari bekerja,” katanya.
Katanya, kuasa meluluskan pengeluaran lesen PBT diberikan kepada Setiausaha Majlis atau pegawai yang diberi kuasa.
“Prosedur ini terpakai kepada kesemua PBT Sarawak di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan termasuklah MDS.
“Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Kemakmuran Ekonomi: Kemudahan Menjalankan Perniagaan dengan adanya proses yang baharu ini, diharap ia dapat mempercepatkan proses pemberian lesen di bawah PBT dan seterusnya menjadikan operasi perniagaan lebih efisien serta meningkatkan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan MDS,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemilik perniagaan di Sarikei supaya segera memohon lesen kepada MDS.
“Borang-borang permohonan lesen boleh diperolehi daripada Bahagian Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar MDS,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek