
MIRI: Seorang peniaga di sini, mengalami kerugian berjumlah RM300,000 selepas ditipu menerusi satu pelaburan dalam talian tidak wujud.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata menerusi satu kenyataan media hari ini memberitahu, mangsa lelaki tempatan berusia 50an telah membuat satu laporan polis berhubung kes penipuan berkenaan.
Beliau berkata, menerusi laporan yang dibuat, mangsa memberitahu, pada awal Januari 2025, dia telah melayari laman Facebook dan tertarik dengan satu pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat XGI Horizon Construction Sdn Bhd.
“Mangsa yang tertarik bertindak menekan pautan yang telah disediakan oleh pihak syarikat terbabit dan dihubungkan dengan seorang individu yang tidak dikenali iaitu suspek yang berperanan sebagai ejen pelaburan syarikat tersebut.
“Kemudian, suspek menawarkan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan keuntungan yang berlipat ganda dalam tempoh yang singkat iaitu keuntungan sebanyak 30 peratus hingga 100 peratus.
“Dalam kejadian ini, mangsa yang terperdaya telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek berjumlah lebih kurang RM300,000,” katanya.
Beliau memberitahu mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran lain dan sehingga laporan polis dibuat mangsa masih belum menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
Sehubungan itu, Mancha memberitahu, pihak polis menasihati agar orang ramai jangan terlalu mudah percaya dengan pelaburan-pelaburan yang ditawarkan di laman sosial dan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan.
Selain itu, turut disarankan agar membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my atau telelink Bank Negara Malaysia (BNM) 1-300-88-5465 dan www.sc.com.my atau menghubungi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di talian 03-62048999.
“Mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan jenayah siber sama ada menerusi phone scam, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya, sekiranya anda baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e wallet suspek, anda dinasihatkan agar segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997.
“Di samping itu juga, disarankan untuk memuat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store atau Apple Store bagi membantu membuat keputusan sama ada mahu menjawab panggilan telefon yang diterima atau sebaliknya,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling