PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan bagi memastikan pematuhan kepada Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Ini susulan beberapa isu yang tular di media sosial berkaitan pengendali makanan mengendalikan makanan dengan cara tidak bersih dan selamat seperti menggunakan air parit bagi mencuci periuk dan menyimpan bahan mentah sayur-sayuran di dalam tandas.
KKM dalam kenyataan hari ini menegaskan kepada semua pengusaha premis makanan dan pengendali makanan untuk sentiasa mengamalkan amalan baik semasa pengendalian makanan dan mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Ini termasuk membersihkan peralatan menggunakan sumber air bersih, menyimpan bahan mentah dan makanan di tempat selamat dan pada suhu betul serta mengamalkan kebersihan diri yang optimum semasa mengendalikan makanan.
Di samping itu, KKM memaklumkan adalah menjadi tanggungjawab pengusaha premis makanan memastikan semua pekerja menghadiri Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM serta mendapatkan vaksinasi antitifoid.
Sepanjang tahun ini KKM telah melaksanakan program Walkabout BeBAS iaitu “Premis Bersih, Bebas Asap” yang memberikan penekanan kepada dua komponen utama iaitu pematuhan kepada peraturan kebersihan premis makanan dan peraturan berkaitan larangan merokok di premis makanan.
Menurut kenyataan itu, sebanyak lapan lokasi program walkabout BeBAS telah dilaksanakan dan akan diteruskan di semua negeri.
Program itu juga sebagai simbolik persefahaman dan kerjasama antara pengusaha premis makanan dengan agensi kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta menitikberatkan konsep pemerkasaan masyarakat dalam memastikan kedua-dua peraturan dipatuhi.
Melalui program BebAS itu, KKM memberikan pengiktirafan Premis Bersih dan Selamat (BeSS) kepada premis makanan seperti restoran, kedai makan, medan selera, dan lain-lain yang telah mematuhi standard dan peraturan ditetapkan selain meningkatkan keyakinan pengguna dalam memilih premis makanan yang bersih dan selamat.
Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dalam memilih tempat makan dan sentiasa memastikan makanan yang diambil bersih dan selamat.
“Sebelum membeli “Perhati dan Pilih” serta amalkan “Lihat Hidu Rasa” kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan,” menurut kenyataan itu.
Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan berlaku, boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.
Selain itu, pengguna boleh melayari laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di http://moh.spab.gov.my dan https://www.facebook.com/bkkmhq.
— BERNAMA