
SIBU: Pengusaha tayar di Sarawak digesa agar berani menghasilkan produk berjenama sendiri dengan label ‘Made in Sarawak’.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, meskipun negeri ini memiliki ramai tenaga pakar, kemahiran teknikal, kepintaran, sumber serta keupayaan penyelidikan, sehingga kini Sarawak masih belum mempunyai jenama tayar sendiri di pasaran.
Menurutnya, pasaran tayar di Sarawak pada masa ini masih bergantung kepada produk import yang mempunyai kelebihan dari segi mutu, kualiti, keselamatan serta jangka hayat, namun kelemahannya ialah harga yang lebih mahal.
“Sarawak sebenarnya tidak kalah dengan negara maju dari segi kepakaran, tetapi masih belum ada pihak yang berani menyahut cabaran menghasilkan tayar berjenama sendiri. Inilah peluang untuk kita mencipta sejarah baharu dalam industri tayar negeri ini,” katanya sambil menambah penghasilan tayar keluaran tempatan bukan sahaja boleh mengurangkan kos, malah menjadi simbol kebanggaan rakyat Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-45 Persatuan Peniaga dan Pengedar Tayar Sarawak serta Pelantikan Ahli Jawatankuasa ke-23 di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam tadi.
Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu turut mencadangkan agar persatuan menubuhkan pusat kitar semula tayar terpakai di setiap cawangan bagi membantu menjual tayar kepada kilang untuk dikitar semula serta menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar.
Beliau memberitahu, sehingga kini masih belum ada kilang yang sanggup menguruskan tayar terpakai, sedangkan isu itu telah menjadi masalah global.
“Di Amerika Syarikat misalnya, jurutera mencampurkan tayar terpakai dengan asfalt untuk membina jalan raya yang lebih tahan lama.
“Teknologi pembinaan ini dikenali sebagai Mechanical Concrete yang mampu menukar bahan buangan kepada sumber bernilai.
“Purata 10 hingga 12 tayar standard boleh digunakan untuk membina satu meter padu jalan raya. Ia sekali gus mengurangkan masalah pelupusan tayar lama,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Persatuan Peniaga dan Pengedar Tayar Sarawak bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan projek perintis ‘Jalan Raya Tayar’ di Sarawak.
“Saya sebagai Timbalan Menteri Kabinet, bersedia menjadi penghubung untuk menjayakan cadangan ini demi membolehkan Sarawak memiliki teknologi sendiri dalam bidang itu.
“Sarawak kini berada di landasan pembangunan pesat dengan transformasi ekonomi ke arah hijau, bersih, selamat dan lestari di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” ujar beliau.
Tambahnya, kelebihan sumber tenaga seperti air, angin dan solar harus dimanfaatkan seiring dengan trend ekonomi hijau dunia, sekali gus membuka peluang baharu dalam peta perniagaan termasuk industri tayar.
Turut hadir Presiden Persatuan Peniaga dan Pengedar Tayar Sarawak, Lim King Hong, Pengerusi Penganjur, Ngieng Hock Teck, Penasihat Datuk Philip Lau serta kehormat yang lain.
Oleh Akun Giman