
KABONG: Pihak pengurusan Tokong Tian Yun Gong Roban merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Sarawak serta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) atas sumbangan yang disalurkan bagi tujuan menaik taraf dan membaik pulih kemudahan rumah ibadat itu.
Pengerusinya, Wee Chun Ing berkata sumbangan ini amat bermakna dan akan digunakan bagi kerja-kerja seperti pembaikan struktur bangunan, pemasangan kemudahan asas serta penambahbaikan persekitaran rumah ibadat agar lebih selesa dan selamat.
Beliau turut menyatakan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan dan keperluan semua komuniti agama di Sarawak.
“Kami amat menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Sarawak dan UNIFOR. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memelihara keharmonian dan kebebasan beragama di negeri ini.
“Peruntukan yang disumbangkan ini akan digunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan fasiliti rumah ibadat kami,” katanya
Dalam pada itu, Wee turut merakamkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir kerana telah membantu pihaknya dalam urusan permohonan bantuan UNIFOR ini sehingga ia diluluskan peruntukannya.
“Inisiatif UNIFOR ini terus menjadi bukti nyata kepada pendekatan inklusif dan menyeluruh yang diamalkan kerajaan Sarawak dalam memastikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat manfaat pembangunan,” ujarnya.
Terdahulu, Chee Kadir telah menyampaikan cek UNIFOR berjumlah RM150,000 kepada pihak pengurusan Tokong Tian Yun Gong Roban dalam satu majlis ringkas dekat sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Tokong Tian Yun Gong Roban, Law Peng Leng, Bendahari Chua Chiew Ling dan ahli jawatankuasa, Yii Yung Sing.
Oleh Adi Safarman