
KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan, sejajar dengan komitmen memastikan kebajikan serta keselamatan mangsa banjir sentiasa terpelihara.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pengurusan PPS ketika ini berada dalam keadaan terkawal dengan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi termasuk tilam, makanan, air minuman, bekalan air panas serta kemudahan perubatan bagi memastikan keselesaan mangsa sepanjang tempoh pemindahan.
“Walaupun terdapat beberapa isu pada peringkat awal pembukaan PPS, semuanya telah ditangani dengan segera melalui penyelarasan bersepadu antara agensi terlibat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sungai Tengah, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa matlamat utama kerajaan negeri adalah memastikan PPS berfungsi sebagai tempat perlindungan yang selamat, bersih dan kondusif bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi mangsa banjir.
Beliau juga memaklumkan, setakat ini sebanyak 12 PPS telah diaktifkan di Sarawak melibatkan 343 keluarga dengan seramai 1,347 mangsa, merangkumi kawasan Kuching, Lawas dan Kota Samarahan.
Terdahulu, Uggah telah meninjau PPS Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu yang telah dibuka pada 1 Januari lalu bagi melihat sendiri keadaan semasa serta kebajikan seramai 52 mangsa daripada 12 keluarga yang terjejas akibat banjir.
Selain itu, beliau turut membuat tinjauan ke PPS Masjid Darul Istiqlaal Kampung Sungai Maong yang kini menempatkan 128 mangsa banjir terdiri daripada 26 keluarga.
-UKAS