
MIRI: Pengurusan lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, tegas Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah.
Beliau berkata, ini termasuk penggunaan borang rasmi rujukan Ketua Polis Negara bertarikh 14 Mac 2022, bagi memastikan keselamatan serta integriti pasukan sentiasa terpelihara.
“Aspek pengurusan lokap merupakan tanggungjawab besar yang menuntut perhatian serius daripada semua anggota bertugas.
“Kecuaian dalam mengurus tahanan boleh menjejaskan imej pasukan. Justeru, pematuhan penuh terhadap SOP perlu ditekankan pada setiap masa,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Miri di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd Farhan turut menegur kelemahan yang dikesan dalam pengurusan kuarters polis, khususnya dari aspek kebersihan, tadbir urus, pendaftaran serta pemantauan, sebagaimana yang dilaporkan Bahagian Audit Dalaman Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau juga menggesa agar pasukan rondaan MPV, URB, CPJ dan bit patrol meningkatkan keberkesanan perancangan pencegahan jenayah di kawasan tanggungjawab masing-masing, di samping memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat melalui pendekatan ‘Pemantauan Komuniti Oleh Polis.’
“Pendekatan seperti ‘Kepolisian Berprofil Tinggi, Berhenti dan Berbual’ dan ‘Sapa Dan Berbual Dengan Kami’ amat penting dalam mengeratkan kepercayaan masyarakat terhadap polis,” tambahnya.
Selain itu, beliau berkata, usaha membanteras sindiket dadah turut ditekankan, dengan penekanan terhadap tindakan lebih proaktif serta bersepadu.
Beliau turut mengajak seluruh warga IPD Miri untuk memperkukuhkan semangat ‘Semangat Setiakawan’ melalui aktiviti kebersamaan seperti gotong-royong, sukan dan riadah, agar budaya kerja berpasukan terus diperkasa. Oleh Liong Chai Ling