Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pengurusan empangan berkesan bantu kurangkan risiko banjir di Batu Kitang – Lo Khere Chiang
  • Selatan
  • WILAYAH

Pengurusan empangan berkesan bantu kurangkan risiko banjir di Batu Kitang – Lo Khere Chiang

Utusan Sarawak 1 day ago
DATO Ir Lo Khere Chiang, ditemui media selepas Program Kebajikan SUPP Batu Kitang sempena Program Kebajikan Seksyen Belia Cawangan SUPP Batu Kitang di Persatuan Keperluan Khas Kuching, hari ini.

KUCHING: Pengurusan empangan yang sistematik, khususnya dengan mengawal paras air sebelum musim hujan, terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko banjir di kawasan Batu Kitang, kata Dato Ir Lo Khere Chiang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, pengalaman banjir yang tidak serius di kawasan berkenaan baru-baru ini menunjukkan kepentingan pengurusan empangan secara berhemah, terutama di Empangan Bengoh.

“Apabila paras air empangan diturunkan lebih awal, takungan air menjadi lebih besar dan mampu menampung hujan lebat dalam tempoh singkat, sekali gus mengurangkan risiko limpahan air ke kawasan penempatan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini Batu Kitang sering menjadi antara kawasan terawal terjejas banjir, namun keadaan tersebut semakin terkawal hasil pengurusan empangan yang lebih teratur.

Menurutnya, cadangan pembinaan empangan sekunder atau kolam takungan berskala besar wajar dipertimbangkan sebagai langkah mitigasi jangka panjang yang lebih berkesan berbanding pembinaan kolam kecil.

EMPANGAN Bengoh. Foto Fail.

“Corak hujan di Sarawak adalah luar biasa dengan intensiti tinggi dalam tempoh singkat. Oleh itu, pendekatan kawalan banjir berskala besar lebih sesuai berbanding penyelesaian kecil yang tidak mampu menampung jumlah air hujan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar seperti Kampung Bumbok dan Kampung Sudat berpunca daripada faktor pembangunan pesat yang menjejaskan aliran keluar air.

Katanya, perancangan pembangunan yang lebih menyeluruh serta sistem perparitan yang cekap perlu diberi perhatian bagi memastikan air dapat dialirkan dengan lebih cepat ketika hujan lebat.

Lo Khere Chiang menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memperkukuh perancangan tebatan banjir demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan Batu Kitang.

Dalam pada itu, Lo Khere Chiang menegaskan bahawa Sarawak semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai destinasi persaraan terbaik dunia, didorong oleh kestabilan ekonomi, kos sara hidup yang berpatutan serta kualiti kehidupan yang baik.

“Kelebihan ini menjadikan Sarawak pilihan ideal bukan sahaja untuk rakyat tempatan, malah warga luar yang mencari persekitaran selamat, aman dan mesra untuk menjalani kehidupan persaraan,” katanya selepas merasmikan Program Kebajikan Seksyen Belia Cawangan SUPP Batu Kitang di Persatuan Keperluan Khas Kuching, hari ini.

Menurut beliau, Sarawak menawarkan keseimbangan antara kemudahan moden dan gaya hidup yang tenang, selain memiliki masyarakat berbilang kaum yang harmoni serta berteraskan nilai kemanusiaan dan saling menghormati.

“Kos keperluan asas yang lebih rendah, kemudahan awam yang stabil serta tahap keselamatan yang baik antara faktor utama yang menjadikan Sarawak semakin menarik sebagai tempat bersara,” katanya.

Beliau menambah pengurusan kerajaan negeri yang cekap dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat turut menyumbang kepada persekitaran hidup yang lebih selesa dan kurang tekanan, sekali gus meningkatkan kebahagiaan masyarakat.

“Apabila tekanan hidup dapat dikurangkan, rakyat mempunyai lebih ruang untuk membina hubungan sosial, terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan serta menyumbang kembali kepada komuniti setempat. Ini antara kekuatan Sarawak, iaitu masyarakat yang berbelas kasihan dan saling menjaga antara satu sama lain, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk kehidupan jangka panjang,” ujarnya.

Lo Khere Chiang menegaskan komitmen untuk terus menyokong dasar dan inisiatif yang meningkatkan kualiti hidup rakyat, selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri yang bukan sahaja membangun, malah selesa dan sejahtera untuk didiami sepanjang hayat.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Program kebajikan perkukuh sokongan kepada komuniti berkeperluan khas di Batu Kitang
Next: APM Marudi musnahkan sarang tebuan di Kampung Baru

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.