
PUTRAJAYA: Semua pengunjung Taman Laut Malaysia diwajibkan membawa pulang sampah masing-masing ke darat bermula 1 Januari depan dalam usaha mengurangkan pencemaran marin, khususnya sisa plastik yang dikenal pasti sebagai ancaman terbesar kepada ekosistem laut.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut yang bersidang semalam.
“Ketetapan ini turut disokong wakil kerajaan negeri Kedah, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam pemuliharaan marin.
“Ketetapan baharu ini menegaskan komitmen negara dalam memastikan kawasan perlindungan marin kekal bersih, sihat dan lestari,” menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan pencemaran plastik telah menyebabkan kerosakan terumbu karang, kematian hidupan marin serta peningkatan mikroplastik yang akhirnya memberi kesan kepada kesihatan manusia dan keterjaminan makanan negara.
“Pengusaha bot, pusat selaman, pemandu pelancong, komuniti setempat dan industri pelancongan diseru untuk bersama-sama menjayakan kempen ‘Bawa Pulang Sampah Anda’,” menurut kenyataan itu.
Kempen berkenaan bermula di Pusat Taman Laut Pulau Redang dan Pusat Taman Laut Pulau Perhentian di Terengganu, Pusat Taman Laut Pulau Payar (Kedah), Pusat Taman Laut Pulau Tinggi (Johor) serta Pusat Taman Laut Pulau Rusukan Kecil, Labuan.
KPKM memaklumkan kerjasama semua pihak amat penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman pencemaran plastik serta kepentingan memelihara sumber makanan negara.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak dalam kenyataan yang sama berkata keputusan mewajibkan semua pengunjung Taman Laut Malaysia membawa pulang sampah masing-masing ke darat, menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam melindungi biodiversiti marin negara.
“Pencemaran plastik bukan sahaja mengancam hidupan laut, malah memberi kesan langsung kepada rantaian makanan dan kesejahteraan rakyat.
“Dengan sokongan semua pihak, usaha pemeliharaan dapat diperkukuh bagi memastikan Taman Laut Malaysia kekal terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, KPKM memaklumkan, mesyuarat turut membentangkan inisiatif strategik berasaskan sains, iaitu Pemetaan Kawasan Penting Pesisir dan Marin Malaysia, yang bertujuan mengenal pasti serta memelihara kawasan sensitif seperti tapak pembiakan kritikal dan habitat terumbu karang yang terancam untuk pelaksanaan tindakan perlindungan yang lebih bersasar.
“KPKM menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri memberikan penekanan khusus terhadap aspek konservasi marin dalam mempertimbangkan agihan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) yang diterima melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Peruntukan berkenaan wajar disalurkan secara fokus kepada inisiatif pemuliharaan berimpak tinggi yang menyokong pelaksanaan Kawasan Perlindungan Marin (MPA) di peringkat negeri,” menurut kenyataan itu.- Bernama