SARATOK: Pengundi muda dalam kawasan Parlimen Saratok dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan hasutan anasir luar apabila membuat penilaian siapa yang patut diundi pada 19 November nanti.
Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi itu, Giendam Jonathan Tait berkata mereka perlu membuat penilaian sendiri secara rasional.
Malah katanya, mereka juga perlu merenung dasn elak tragedi buruk ketika pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih Kerajaan Persekutuan setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018.
“Saya mengharapkan pengundi muda di Sarawak boleh membuat keputusan secara matang, kerana tindakan salah akan mengulangi tragedi buruk pada 2018, iaitu PRU14.
“Impaknya, Sarawak diabai sepanjang tempoh 22 bulan,” katanya semasa melakukan ‘walk-about’ di sekitar pekan Saratok di sini hari ini.
Giendam berdepan penyandang kerusi Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju yang bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dibawah gabungan Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas, Ibil Jaya.
Giendam berkata pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun yang mengundi buat pertama kali pada PRU15 ini perlu membuat keputusan bijak demi masa depan Sarawak.
Beliau berkata, inilah masanya rakyat Sarawak membuktikan bahawa GPS yang julung kali bertanding di PRU15 mampu mengubah lanskap politik negara.
“Kita mestikan buktikan GPS bukan sekadar parti tempatan, namun mampu mencapai kemenangan yang membanggakan melalui sokongan dan undi anda.
“Rakyat Sarawak harus menyokong GPS. Tidak perlu kita mengulangi politik kacau-bilau seperti yang berlaku di Semenanjung dan Sabah,” katanya.
Giendam menjelaskan, GPS perlu memenangi kesemua 31 kerusi untuk membolehkan ia mempunyai kuasa yang lebih di Parlimen.
Beliau berkata, keputusan bijak itu adalah dengan mengundi kerajaan yang terbukti dapat membawa pembangunan khususnya di kawasan Parlimen Saratok.