SEORANG anak muda yang sedang menuntut di universiti tempatan memberitahu dia tetap turun mengundi 19 November nanti kerana rasa teruja menjadi pemilih buat kali pertama ketika usia mencecah 19 tahun.
Ketika ditanya bagaimana penilaiannya apabila turun mengundi, dia kata ‘undian saya akan berasaskan parti dan manifesto’. Rakan sebayanya pula berkata ‘saya pilih calon, bukan parti’.
Seorang pelayan restoran pula lain penilaiannya. ‘Kalau ada yang beli tiket kapal terbang untuk saya terbang dari Kuching ke Miri, saya akan balik’.
Namun seorang pesara memberitahu penilaiannya tetap sama dari dahulu hingga sekarang. ‘Kalau dulu saya sokong Barisan Nasional (BN), bila BN dah tiada (di Sarawak), saya sokong GPS (Gabungan Parti Sarawak).’
Di sini kita dapat membeza penilaian lain-lain berdasarkan kategori umur. Tetapi senario Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini amat jauh berbeza dengan 14 pilihan raya umum sebelum ini.
Ini kerana mereka berusia antara 18 hingga 21 tahun sudah didaftar secara automatik sebagai pengundi dan mereka ini digelar sebagai Undi18.
Dianggarkan ada kira-kira 1.14 juta belia bakal menggunakan mandat buat pertama kali, menyertai kelompok 21.1 juta keseluruhan pemilih dengan 1.4 juta adalah pengundi baharu.
Bagi Sarawak, jumlah pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRU-15 meningkat hampir 60 peratus berbanding rekod pada PRU-14. Jumlah terkini adalah 1,943,074 orang, meningkat daripada 1,220,960 pemilih pada PRU-14 empat tahun lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 825,791 adalah pengundi berumur 21 hingga 39 tahun yang menjadi kategori paling ramai, manakala pengundi 18 hingga 20 tahun seramai 129,034 orang.
Daftar Pemilih Sarawak terkini merekodkan 975,618 atau 50.21 peratus pengundi lelaki, 967,456 atau 49.79 peratus pengundi wanita dan 25,799 orang kelainan upaya (OKU), membabitkan 25,782 pemilih biasa, tentera dan pasangan (7) serta polis dan pasangan (10).
Selama ini hanya mereka berusia 22 tahun ke atas layak mengundi, tetapi malangnya sebahagian kelompok ini sama ada tidak pernah berdaftar sebagai pengundi selama ini atau berdaftar tetapi tidak pernah mengundi.
Sekarang semuanya layak mengundi sebab secara automatik layak sebagai pemilih.Terpulang kepada masing-masing sama ada mahu turun mengundi pada 19 November nanti.
Pendaftaran pengundi dalam kelompok Undi18 itu susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia layak mengundi dan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun serta mendaftarkan golongan berusia sama sebagai pemilih secara automatik.
Pindaan itu yang diluluskan oleh Parlimen diwartakan dan berkuat kuasa pada Disember 2021.
Persoalannya, sejauh mana Undi18 ini mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini?
Ada pihak berpandangan pemilih bawah usia 21 tahun yang akan mengundi buat pertama kali pada PRU-15 ini masih mentah dan belum matang untuk memilih pemimpin serta kerajaan bagi mentadbir negeri dan negara.
Oleh itu, calon PRU-15 perlu bijak memainkan penjenamaan politik mereka untuk tampil lebih menarik kepada pengundi muda.
Seperti kata Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian, kebanyakan pengundi muda ini masih ‘atas pagar’ dalam memilih calon masing-masing.
“Ada kemungkinan untuk mereka memilih tidak keluar mengundi. Bagaimanapun, jika seseorang pemimpin mempunyai ‘jenamanya’ tersendiri yang boleh ‘dijual’ oleh parti dan karakter yang boleh diteladani, pengundi muda ini akan keluar untuk menyokong pemimpin tersebut,” katanya.
Tetapi menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pengundi berusia 45 tahun ke bawah adalah penentu bagi PRU-15, berbanding pengundi berusia 18 hingga 25 tahun.
Katanya, ini kerana ramai golongan pengundi 45 tahun ke bawah yang menjadi pengundi baharu. Ia dalah berikutan pendaftaran automatik pengundi susulan pelaksanaan Undi18.
“Memang kita tidak menafikan umur 18 tahun ini penting tetapi apa yang berlaku dalam pendaftaran ialah ramai yang berumur antara 21 hingga 45 tahun dulu tidak mendaftar sebagai pengundi atau disebutkan tiada minat.
“Jadi lonjakan yang banyak ini adalah disebabkan pendaftaran automatik. Kalau kita tengok, pada peratusan, umur 18 hingga 21 ada tetapi tidaklah begitu banyak kalau dibandingkan dalam jumlah pengundi baharu,” katanya dalam temubual dengan sebuah portal berita tempatan baru-baru ini.
Abang Johari berkata, pengundi umur 45 tahun ke bawah memang menjadi pengundi utama kerana golongan ini lebih rasional.
Sementara itu, Kishan Deepak Buxani, 25, pelajar tahun akhir Ijazah Sains Politik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berharap calon yang bertanding dapat mengetengahkan isu pengangguran belia dalam kempen politik mereka kerana ia semakin menjadi kebimbangan dalam kalangan anak muda.
“Tidak ramai calon yang bercakap tentang perkara ini dan tiada hala tuju atau dasar bagaimana isu ini akan ditangani sekiranya mana-mana gabungan memenangi pilihan raya. Antara isu mendesak pengundi muda termasuk pekerjaan, gaji dan kos sara hidup,” katanya dipetik Bernama.
Kishan, dari Batu Ferringhi berkata ramai rakannya tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman untuk mengundi tetapi berdepan dilema sama ada menggunakan wang untuk tambang perjalanan bagi mengundi atau menggunakan duit itu untuk perbelanjaan makanan bulan depan.
Kishan dan tiga rakannya mengasaskan gerakan yang dipanggil #SiswaBalik untuk mendekati belia yang belajar di Sarawak dan mendapati bahawa 76.7 peratus responden berharap untuk pulang ke kawasan pilihan raya mereka tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tambang perjalanan yang mahal.
“Apa yang lebih mengejutkan 49.7 peratus daripada mereka adalah pelajar yang berasal dari Sarawak, oleh itu kami memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan undi pos bagi pelajar dan kerajaan disaran bekerjasama dengan syarikat pengangkutan untuk mendapatkan kadar tambang berpatutan untuk pelajar menempah pengangkutan masing-masing,” katanya.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak