
KUALA LUMPUR, 22 Mei -- Angoota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa dokumen kebenaran rentas negeri di sekatan jalan raya Tol Gombak ketika tinjauan hari ini ikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam (21 Mei 2021) pihak MKN sebulat suara bersetuju memperketatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial demi mengekang penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING: Sarawak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 29 Mei sehingga 11 Jun.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu sidang media semalam, tindakan drastik itu terpaksa diambil untuk mengawal jangkitan Covid-19 sebelum situasi yang lebih parah boleh berlaku.
Keputusan dibuat memandangkan kes yang semakin meningkat, dan diparahi oleh keadaan virus varian membimbangkan (VOC) juga terkesan, manakala sebahagian besar kluster tercetus akibat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah, terutamanya semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, tambahnya.
Kes Covid-19 yang dilaporkan semalam telah mencatatkan 772 kes baharu di seluruh Sarawak, menjadikan kumulatif kes positif berjumlah 44,738 yang meletakkan Sarawak di tangga kedua tertinggi di seluruh negara selepas Selangor (yang mencatat 2,675 kes).
“Hari ini juga kita telah merekodkan jumlah kes kematian disebabkan jangkitan Covid-19 yang paling tinggi, 9 kes kes,” jelasnya.
Jumlah kematian itu telah meningkat dari purata satu kematian sehari pada bulan Mac (dengan jumlah 29 kematian), kepada purata dua kematian sehari pada bulan April (69 kematian) manakala setakat 27 Mei 2021 meningkat kepada 91 kes yang menjadikan purata kematian menjadi tiga.
Sebelum ini, Sarawak telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan SOP yang diperketatkan mulai 12 Mei lepas.
Tambahnya, akibat situasi Covid-19 di Sarawak yang semakin meruncing kapasiti katil unit rawatan intensif (ICU) sekarang berada di paras kritikal dengan sebanyak 81 kes Covid-19 masih dalam keadaan kritikal di wad ICU termasuk 31 kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
“JPBN ingin menasihatkan kepada orang ramai, terutamanya mereka yang akan menyambut Hari Gawai agar mematuhi SOP yang telah dikeluarkan.
“Sambutlah Gawai dengan ahli keluarga yang tinggal serumah sahaja atau di “bilik” (rumah panjang) masing-masing atau menggunakan teknologi berhubung secara maya.”
Uggah menasihatkan agar budaya balik rumah panjang, “ngabang”, menganjur aktiviti sabung ayam dan seumpamanya dielakkan buat sementara sebagai tanda menyayangi dan melindungi keluarga, jiran dan rakan.
“Budaya, tradisi, adat dan identiti kita tidak akan hilang tanpa meraikan perayaan tahun ini,” tegas beliau.
Oleh NUR AIN OTSMAN