TRAGEDI 13 Mei 1969 membuktikan bahawa terdapat perkara yang belum diselesaikan dalam hubungan antara kaum di Malaysia. Oleh itu Kerajaan Pusat mengerakan usaha dalam memperbaiki permasalahan itu. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dipimpin oleh Tun Abdul Razak Hussein bertekad untuk mengembalikan keamanan ini dengan melihat punca-punca masalah yang timbul di Malaysia.
Hal ini termasuk mewujudkan Rukun Negara yang menjadi panduan bermasyarakat di Malaysia. Selepas itu diikuti dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru.
KERAJAAN PERPADUAN
Di Sarawak usaha ke arah perpaduan digerakkan dengan menyelesaikan masalah politik selepas pilihan raya 1969. Kompenan-kompenan Perikatan Sarawak tidak sehaluan dalam pilihan raya tersebut dan berdepan masalah dalam pembentukan kerajaan negeri. Pembangkang juga berpecah kepada dua parti besar iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).
Masalah ini menimbulkan kesukaran dalam mencapai titik tolak kepada pembentukan kerajaan negeri Sarawak. Namun usaha ke arah pembentukan kerajaan pelbagai kaum menjadi agenda utama dalam pembentukan kerajaan negeri Sarawak selepas pilihan raya tersebut.
Atas sebab itu, usaha dibuat untuk mewujudkan kerjasama politik di Sarawak untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan dapat menjalinkan pepaduan antara kaum khususnya dalam aspek politik. Tambahan daripada itu, kerajaan yang kuat di Sarawak penting dalam menjalankan usaha pemgukuhan peepaduan di negeri ini.
Dengan sokongan Kerajaan Pusat ketika itu, Parti Bumiputera telah berjaya membawa kestabilan politik apabila SUPP bersetuju menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri. Pembentukan kerajaan baharu Sarawak pada 1970 itu merupakan kerajaan perpaduan pertama yang wujud di Malaysia. Kerajaan perpaduan ini kemudiannya di sertai oleh Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka).
PARTI BAHARU
Gabungan tiga parti ini mencerminkan ikatan perpaduan kukuh antara tiga kaum utama di Sarawak. Menariknya gabungan parti-parti ini dalam kerajaan bukan sahaja pergabungan antara parti tetapi juga wujud idea penyatuan kaum Bumiputera dalam satu parti. Rundingan telah dibuat antara Parti Bumiputera dan Pesaka untuk menyatukan kedua-dua parti.
Kedua-dua parti tersebut akhirnya bersetuju untuk bergabung pada 1973. Pergabungan kedua-dua parti ini membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). PBB menjadi tulang belakang penting kerajaan negeri Sarawak sehingga ke hari ini.
BARISAN NASIONAL
Pergabungan parti-parti di Sarawak membentuk kerajaan negeri ini merupakan pencetus kepada pembentukan Barisan Nasional (BN). Walaupun di Semenanjung Malaysia telah wujud usaha rundingan ke arah ini, tetapi Sarawak yang memulakannya dengan pergabungan parti politik dalam kerajaan negeri. Akhirnya BN ditubuhkan pada 1973 dan didaftarkan pada 1974. PBB dan SUPP juga menyertai BN. Penyertaaan parti dari Sarawak ini bukan sahaja memperkukuhkan politik negara tetapi mereda suhu perkaumam selepas 13 Mei 1969.
Perpaduan mereka ini walaupun dicabar oleh SNAP pada pilihan raya 1974 tetapi masih kukuh kerana kerajaan pimpinan Abdul Rahman Ya’akub itu mampu mewakili semua kaum di Sarawak. Kerajaan pimpinan Abdul Rahman Ya’akub semakin kukuh apabila SNAP menyertai kerajaannya dan menjadi anggota BN.
PENGUKUHAN PERPADUAN
Usaha-usaha ke arah perpaduan selepas insiden 13 Mei ini bukan sahaja di peringkat politik tetapi juga berlaku di peringkat masyarakat awam. Kerajaan negeri menunjukkan kerjasama baik dengan Kerajaan Pusat apabila menyahut segala usaha Kerajaan Pusat untuk tujuan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat di Sarawak.
Walaupun kehidupan pelbagai kaum di Sarawak pada tahap harmoni, usaha terus digerakkan untuk memperkukuhkan perpaduan ini. Hal ini melambangkan kesepakatan antara Kerajaan Pusat dan negeri. Usaha awal yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pusat untuk tujuan ini adalah penubuhan Lembaga Perpaduan Negara.
Penubuhan lembaga ini mempunyai tujuan untuk menyemai perasaan perpaduan, kerjasama dan cinta negara dalam kalangan pelbagai kaum dan masyarakat. Seterusnya akan membina masyarakat Malaysia yang bersatu padu, yakin dan percaya kepada kerajaan. Akhirnya akan mewujudkan kerjasama lebih erat antara rakyat dan kerajaan.
Di Sarawak matlamat lembaga ini dikendalikan oleh Pejabat Muhibah Negeri Sarawak. Salah satu usaha dilakukan oleh mereka adalah mewujudkan Kelas Perpaduan Rakyat (KPR) untuk pembelajaran bahasa Melayu dan pendidikan sivik di kalangan orang dewasa. Usaha mewujudkan KPR bermula pada 28 Februari 1972. Sejak tarikh tersebut, Pejabat Muhibah Negeri Sarawak telah mengendalikan sebanyak 253 kelas dewasa sehingga 1979, manakala peserta dalam kelas ini bertambah kepada 7,173 pada 1979.
KPR ini diwujudkan kerana tiga sebab utama. Pertama adalah untuk merapatkan jurang antara kaum. Dengan penggunaan bahasa Melayu dalam kelas ini jurang tersebut boleh diatasi secara beransur-ansur. Kedua bagi memberi peluang kepada kaum bukan Melayu untuk memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu mereka.
Hal ini memberi kebaikan kepada kaum bukan Melayu yang menghadapi masalah dalam penggunaan bahasa Melayu agar mereka dapat mempelajari bahasa tersebut. Terakhir pula menanam semangat taat setia dan kewarganegaraan yang baik kepada semua warganegara yang memain peranan dalam pembinaan cara hidup berdemokrasi dan membangunkan negara.
PELBAGAI
Usaha Pejabat Muhibah Negeri Sarawak ini bukan setakat mengadakan kelas dewasa tetapi juga pelbagai lagi usaha perpaduan dalam pendidikan. Antaranya adalah menjalankan usaha perpaduan untuk pendidikan pra-sekolah iaitu Taman Bimbingan Kanak-kanak (TADIKA).
Menerusi penglibatan pejabat ini dalam bidang pendidikan beberapa lagi usaha lain yang berkaitan dengan pendidikan digerakkan. Usaha-usaha ini termasuk khemah kerja perpaduan, kursus bagi guru-guru KPR, kuiz perpaduan, lawatan sambil belajar untuk aktiviti koir dan tarian. Kegiatan gotong-royong dan aktiviti sukan juga diadakan.
Kesan daripada tragedi 13 Mei 1969 menunjukkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan Sarawak untuk meningkatkan perpaduan dalam aspek politik dan masyarakat bawahan. Usaha ini amat berkesan sehingga mewujudkan pengukuhan kerukunan dalam kehidupan masyarat Sarawak dan Malaysia sehingga ke hari ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).