
KEBIASAAN kita akan melihat bahawa British hanya bertapak di Borneo selepas Perang Dunia Kedua.
Jika diteliti secara mendalam, penguasaan British di Borneo bermula dengan lebih awal daripada itu. British telah pergi ke rantau Alam Melayu sejak abad ke-17 lagi.
Namun kedudukannya tidak begitu kukuh kerana kekuatan Belanda di Kepulauan Melayu tidak dapat mereka tandingi. Oleh itu, British hanya menumpukan usaha penjajahannya di India, dan kemudian di selat Melaka.
Atas sebab itu British tidak menganggap Borneo sebagai wilayah penting kerana tumpuan mereka lebih terarah kepada perdagangan di Selat Melaka dan kepulauan Hindia Timur Belanda.
Pada ketika itu, Empayar Brunei semakin lemah akibat ancaman dari luar dan dalam. Di selatan, Belanda memperkukuh pengaruhnya di Sambas dan Pontianak, manakala di utara, Brunei berdepan cabaran daripada Kesultanan Sulu, Sepanyol di Manila serta ancaman pelanunan oleh orang Illanun.
Migrasi kaum Iban di wilayah selatan turut menggugat kestabilan penguasaan pengiran Brunei. Dalam keadaan lemah ini, Brunei cuba mencari pelindung asing, dan British dilihat sebagai pilihan terbaik.
Kepentingan
Kepentingan British di Borneo meningkat pada abad ke-19. Perdagangan mereka dengan China selepas Perang Candu (1841) menuntut keperluan sebuah pusat persinggahan (coaling station) bagi kapal-kapal mereka.

Desakan pedagang Negeri-Negeri Selat dan Glasgow Chamber of Commerce menambah tekanan agar kerajaan British bertindak lebih agresif di Asia Tenggara.
Pada masa sama, James Brooke memberi amaran bahawa kuasa Barat lain – Perancis, Belgium dan Prussia, sedang mengintai peluang di Borneo.
Brunei cuba menarik minat British dengan menawarkan pulau-pulau untuk dijadikan pangkalan. Percubaan awal di Pulau Balambangan (1773) gagal akibat serangan lanun, begitu juga usaha pada awal abad ke-19.
Namun peluang muncul apabila James Brooke diberi kuasa di Sarawak pada 1841, sekali gus menjadi penghubung kepentingan British di Borneo.
Seterusnya, Kapten Bethune mengenal pasti Pulau Labuan sebagai lokasi sesuai. Pada 1846, Labuan diserahkan secara rasmi kepada British, diikuti Perjanjian Persahabatan dan Perdagangan 1847.
Artikel X perjanjian itu menegaskan Brunei tidak boleh menyerahkan wilayahnya kepada kuasa asing lain tanpa persetujuan British. Perjanjian ini menjadi asas pengaruh British atau “paramountcy” di Borneo.
Cabaran
Bagaimanapun, cabaran terhadap paramountcy British datang dari pelbagai arah. Sepanyol menguasai Sulu pada 1860 dan cuba mengembangkan pengaruh ke utara Borneo.
Belanda pula memperkukuh kedudukan di selatan dengan menawan Sambas dan Pontianak, serta memerhati dengan curiga perkembangan Brooke di Sarawak.

Perancis dan Amerika Syarikat turut menunjukkan minat, walaupun pengaruh mereka lebih terhad. Amerika misalnya pernah merundingkan perjanjian dengan Brunei pada 1840-an tetapi tidak memberi kesan besar.
Perancis pula cuba mendapatkan pulau dari Sulu pada 1843 tetapi gagal mengekalkannya.
Di Eropah, perubahan politik turut mempengaruhi percaturan kuasa di Asia Tenggara. Penyatuan Jerman menjadikan negara itu kuasa darat terkuat dan mula bersaing dengan British di laut.
Jerman serta sekutunya Itali juga menunjukkan minat ke atas Asia Pasifik, menimbulkan kegusaran di London bahawa Borneo boleh menjadi sasaran mereka.
Selain ancaman luar, masalah dalaman Brunei seperti isu pajakan lombong arang batu Muara turut membuka ruang campur tangan asing.
Syarikat British yang gagal membayar sewa mencetuskan kerisauan Sultan, malah ada syarikat Perancis dan wakil Amerika cuba mendapatkan konsesi tersebut.
Namun, pengaruh konsul British memastikan Brunei terus bergantung kepada Britain. Pada masa sama, perluasan kuasa Brooke di Sarawak menambahkan tekanan.
Sejak 1850-an, Sarawak mendapat Samarahan, Sadong, Skrang, hingga Rejang, diikuti Mukah (1861), Bintulu (1863), dan akhirnya Baram pada 1880-an.
Tindakan Brooke sering menimbulkan dilema British, kadangkala mereka menyokong perluasan Sarawak, kadangkala mengekangnya atas dasar perjanjian 1847.
Persaingan
Persaingan semakin rumit dengan kemunculan Syarikat Borneo Utara British (SBUB). Pada mulanya, Sultan Brunei memajak wilayah kepada konsul Amerika, Claude Lee Moses, yang kemudiannya dijual kepada Baron Overbeck (Austria) dan Alfred Dent (British).
British akhirnya memberi piagam rasmi kepada syarikat ini pada 1881, sekali gus menandakan permulaan penguasaan formal mereka di Borneo Utara.
Kehadiran SBUB menambah tekanan kepada Brunei kerana kini kedua-dua jirannya, Sarawak dan SBUB, berlumba-lumba merebut wilayahnya.
Dalam keadaan Brunei semakin terhimpit, berlaku siri penyerahan wilayah: Trusan (1885) dan Limbang (1890) jatuh ke tangan Sarawak, manakala SBUB memperkukuh cengkamannya di utara.
Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin yang menaiki takhta Kesultanan Brunei pada 1885 berusaha mengekalkan wilayah selebihnya dengan merujuk kepada British.
Pada masa sama, ancaman kuasa besar lain seperti Perancis dan Jerman yang mula aktif di Pasifik meningkatkan kebimbangan London.
Perjanjian
Akhirnya, demi mengelak perebutan kuasa lain, British menandatangani Perjanjian Naungan 1888 dengan Brunei, Sarawak dan Borneo Utara.
Melalui perjanjian ini, Brunei dikekalkan sebagai negeri merdeka tetapi hubungan luarnya berada sepenuhnya di bawah kawalan Britain.
Dengan ini, British secara rasmi mengukuhkan paramountcy mereka di Borneo. Bagi Brunei, perjanjian ini dianggap penyelamat, walaupun negeri itu kehilangan banyak wilayah.
Bagi British pula, ia menamatkan kebimbangan bahawa Borneo akan jatuhke tangan kuasa lain.
Secara keseluruhan, persaingan kuasa Barat di Borneo mencerminkan percaturan geopolitik global abad ke-19. Brunei yang lemah menjadi medan rebutan antara British, Belanda, Sepanyol, Perancis, Amerika, Jerman dan Itali.
Namun hanya British yang berjaya mengukuhkan kedudukan melalui strategi perjanjian, sokongan perdagangan, dan campur tangan politik.
Dari Perjanjian 1847 hingga Perjanjian Naungan 1888, British akhirnya muncul sebagai kuasa dominan, sementara Brunei kehilangan hampir seluruh wilayahnya dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada naungan British sehingga abad ke-20.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.