BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasi menerusi pengujian aset marin di sepanjang Sungai Rajang bagi memastikan bot sentiasa berada dalam keadaan optimum dan bersedia digunakan ketika menghadapi sebarang kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pengujian tersebut merupakan prosedur berkala yang dilaksanakan bagi memastikan setiap aset marin berfungsi dengan baik serta mampu menyokong kelancaran operasi pemadaman dan penyelamatan.
“Pengujian ini bertujuan memastikan aset marin sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna supaya dapat digunakan pada bila-bila masa apabila diperlukan dalam operasi kecemasan.

“Pengujian perjalanan bot telah dilaksanakan baru-baru ini dan diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Jais Ahad bersama tiga anggota bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pengujian berkenaan turut membolehkan pasukan bomba menilai prestasi serta keupayaan bot bagi memastikan aset tersebut memenuhi keperluan operasi di kawasan sungai dan perairan.
“Pelaksanaan pemeriksaan secara berkala amat penting bagi memastikan setiap aset marin sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi demi menjamin keberkesanan operasi menyelamat.
“Kesiapsiagaan aset marin memainkan peranan penting dalam membolehkan pasukan bomba bertindak pantas terhadap pelbagai insiden yang berlaku di sungai dan kawasan berair,” katanya.





