
SARATOK: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok merekodkan peningkatan ketara dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya apabila jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang 2025 meningkat sebanyak 125 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, sebanyak 2,746 saman telah dikeluarkan sepanjang tahun lalu melibatkan pelbagai kesalahan trafik, sekali gus menunjukkan pertambahan sebanyak 1,526 saman berbanding 2024.
Menurut beliau, peningkatan tersebut didorong oleh pelaksanaan 115 operasi berfokus dan terancang yang dijalankan secara konsisten oleh BSPTD IPD Saratok sepanjang tahun.
Ia meliputi operasi khas motosikal, operasi pelbagai kesalahan trafik, operasi kenderaan perdagangan serta operasi bersepadu bersama agensi berkaitan.
Mengulas isu lumba haram dan gangguan ketenteraman awam, DSP Mathew menegaskan bahawa operasi khas motosikal dilaksanakan secara menyeluruh bagi membanteras aktiviti ‘Mat Rempit’ yang dikenal pasti menjadi antara penyumbang utama pelanggaran undang-undang jalan raya di daerah itu.

“Hasil tindakan tegas yang dijalankan, sebanyak 31 motosikal telah disita bagi 2025 dan tahun sebelumnya atas pelbagai kesalahan teknikal serta pelanggaran peraturan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus komited melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Selain tindakan penguatkuasaan, DSP Mathew berkata, aspek pencegahan dan kesedaran akan terus diperkasakan menerusi pelbagai kempen keselamatan jalan raya bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan mematuhi undang-undang trafik.
Langkah proaktif tersebut diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta membentuk budaya pemanduan yang lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam kalangan penduduk di daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman