Penguasaan bahasa Inggeris penting akses ilmu global – Abang Johari 

Facebook
WhatsApp
UCAPAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Tengah di Dataran Pehin Setia Raja, Mukah hari ini. Foto tangkap layar siaran langsung UKAS

MUKAH: Penguasaan bahasa yang baik penting untuk memastikan generasi muda terus mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan baharu di peringkat global, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, penguasaan bahasa Inggeris merupakan kunci untuk mengakses ilmu pengetahuan di peringkat global, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, sekali gus melahirkan generasi yang berilmu serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Bahasa Melayu sememangnya bahasa kebangsaan kita. Namun, kita juga mahu anak-anak menguasai bahasa Inggeris agar mereka dapat mengakses dan memahami ilmu pengetahuan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Tengah di Dataran Pehin Setia Raja, di sini hari ini. 

Beliau menegaskan, penguasaan bahasa Inggeris bukan bermaksud mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sebaliknya menjadi pelengkap dalam usaha memperluaskan akses anak-anak Sarawak terhadap ilmu baharu.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, banyak bahan ilmiah serta perkembangan terkini dalam bidang sains, teknologi dan inovasi tersedia dalam Bahasa Inggeris, justeru penguasaan bahasa itu penting bagi memastikan anak-anak Sarawak tidak ketinggalan.

Sebagai contoh, beliau menyarankan anak-anak Sarawak membaca buku Hydrogen Revolution yang membincangkan pelan masa depan tenaga bersih hasil tulisan Marco Alverà.

“Buku itu semuanya dalam bahasa Inggeris. Kalau kita tidak faham bahasa Inggeris, macam mana kita hendak membaca buku yang memberikan butiran mengenai tenaga bersih untuk masa depan tamadun manusia?” ujarnya.

Beliau berkata, usaha memperkukuhkan penguasaan bahasa bukan bermaksud mengurangkan kepentingan bahasa Melayu, sebaliknya melengkapkan anak-anak Sarawak dengan keupayaan meneroka ilmu yang lebih luas.

Menurut beliau, penguasaan ilmu merupakan asas sebenar kepada kemajuan sesebuah masyarakat kerana pengetahuan dan kepakaran menjadikan sesuatu bangsa lebih dihormati.

“Jika kita patriotik tetapi tidak mencapai tahap pembangunan yang tinggi, itu bukan ukuran sebenar. Orang tidak akan menghormati kita semata-mata kerana kita patriotik. Sebaliknya, jika kita menguasai ilmu pengetahuan, orang akan menghormati kita,” tegasnya.

Menurut beliau, sebab itu kerajaan Sarawak memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa menerusi program peningkatan (enhancement programme) pendidikan yang memberi fokus kepada pengukuhan keupayaan guru dan murid.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM25 juta bagi program peningkatan pendidikan tersebut bagi membantu memperkukuhkan penguasaan ilmu dalam kalangan warga sekolah.

Beliau berkata, penguasaan ilmu, bahasa dan kemahiran terutama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan menjadi asas penting dalam membentuk masa depan Sarawak.

Oleh Adele Rissa