MARUDI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Penguang Manggil berkata, beliau bersedia mendengar masalah rakyat dan berusaha untuk menyelesaikannya.
Dalam pada itu, beliau memuji tindakan ahli jawatankuasa Persatuan Burung Walit yang bersekemuka dengannya untuk berkongsi masalah dan mencari jalan untuk menyelesainya.
“Inilah cara berkesan untuk berkomunikasi antara persatuan dengan saya tanpa melalui sesiapa,” katanya.
Penguang menegaskan sesiapa sahaja boleh berjumpa dengannya dan tidak ada siapa yang boleh melarang mereka untuk berjumpa dengannya untuk berkongsi masalah.
“Apa saja masalah atau ingin berkongsi dengan saya, boleh menghubungi terus kepada saya,” kata Penguang ketika menghadiri jamuan tengah hari bersama Persatuan Brung Walit Baram.
Menyentuh permohonan Persatuan itu untuk mendapat satu lot tanah untuk tujuan pembinaan rumah brung walit, Penguang selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Marudi menegaskan bahawa beliau telah pun mengemukakan permohonan tersebut kepada jabatan Tanah dan Survei pada Mac 2019.
Katanya, permohonan beliau untuk pembinaan Agropark iaitu selaras dengan permohonan Persatuan Burung Walit di sini.
“Agropark ini nanti kita beri peluang kepada sesiapa yang mahu menjalankan aktiviti pertanian seperti burung walit, menternak kerbau atau sapi, tanaman nanas dan aktiviti pertanian yang lain,” jelasnya
Tanah tersebut nanti ujar Penguang, disediakan oleh kerajaan dan akan dipinjamkan kepada sesiapa yang mahu menceburkan diri dalam pertanian moden.
“Sehingga sekarang saya belum lagi menerima jawapan daripada Jabatan Tanah dan Survei yang saya mengemukakan permohonan pada Mac 2019 dan sampai sekarang belum ada jawapan,” tambah Penguang.
Malah menurut Penguang, beliau juga telah mengajukan permohonan ini kepada Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Turut hadir, Pemanca Wong Kiong Ching dan Pengerusi Persatuan Burung Walit Baram, Lio Ung Hieng.
Oleh Jiku Juguong