MARUDI : Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Penguang Manggil menganggap projek pembinaan Tebingan Marudi ( Marudi Waterfont) sebagai ikon bagi beliau sejak menjadi wakil rakyat di Marudi.
Malah sejak dipilih wakil rakyat pembinaan Tebingan Marudi adalah agenda utama beliau iaitu projek pertama yang beliau usahakan kerana Marudi adalah tempat lahirnya temasya Regata Baram.
Bercakap kepada pemberita, beliau berkata tidak lengkap jika Marudi tiada “Waterfront” dan menurut beliau seperti mana yang dilihat sekarang, reka bentuknya lain daripada tebingan lain yang ada di negeri ini.
Setakat ini menurut Penguang, beliau telah difahamkan pembinaan Tebingan Marudi sudah siap 80 peratus dan dijangka siap pada penghujung November 2021.
Jelasnya, projek ini dijadualkan siap pada Mac 2021 tetapi memandangkan pandemik Covid-19 maka pekerja tidak dibenarkan bekerja.
“ Harapan saya ialah untuk melihat landskap Marudi berubah dan jika semua projek siap seperti Tebingan Marudi, jambatan Marudi, pembinaan jalan baharu Miri – Marudi dan projek pembinaan menara berhampiran Kubu Hose untuk rakyat menyaksikan Regata Baram dan semua ini adalah platform untuk Marudi sebagai mercu tanda ,” katanya.
Dalam pada itu Penguang memberitahu bahawa fasa kedua pembinaan Tebingan Marudi belum dapat dilaksanakan kerana ia belum lagi ditender dan berharap apabila ini dibuat kelak maka ia akan mengubah landskap Marudi dengan begitu ketara sekali.
“Dalam masa terdekat ini kita juga akan meletakkan satu replika perahu dengan 13 pengayuh di dataran Marudi sebagai simbol bahawa Marudi adalah tempat lahir Regata Baram,” tambahnya.
Sehubungan itu beliau menegaskan apabila impiannya menjadi kenyataan dan semua projek sudah siap, Penguang juga ingin melihat Marudi akan ditambahbaik dari segi sosial ekonomi rakyat tempatan dan landskap alam sekitar.
“Itulah impian saya dan untuk membuat yang terbaik kepada rakyat Marudi, malah saya mahu suatu hari nanti Marudi juga akan dinaik traf sebagai sebuah bahagian, “ kata Penguang.
Menyentuh perkembangan pembinaan jambatan Marudi, Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi berkata, seperti mana yang beliau nyatakan sebelum ini kontraktor yang ada sekarang telah menarik diri.
Katanya pihaknya telah membentangkan satu cadangan baharu kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menggantikan kontraktor yang ada sekarang kepada kontraktor baharu bagi menyelamatkan projek ini.
Beliau berkata kertas kerja akan dibentangkan dalam persidangan kebinet pada Ogos ini dan berharap kerja pembinaan projek tersebut dapat diteruskan pada November ini atau selewat-lewatnya penghujung tahun.
“Saya pasti dan yakin projek diteruskan kerana Ketua Menteri telah bersetuju dengan cadangan kami untuk membenarkan kontraktor baharu menyambung kerja yang sedia ada,” tambahnya.
Oleh JIKU JUGUONG