
AYAH merupakan insan yang memainkan peranan besar dalam sesebuah keluarga. Walaupun kasih sayang seorang ibu sering dizahirkan melalui pelukan, belaian dan kata-kata yang lembut, kasih seorang ayah pula kebanyakannya diterjemahkan melalui pengorbanan, tanggungjawab dan usaha yang tidak pernah mengenal penat lelah.
Ramai ayah sanggup mengorbankan masa, tenaga, keselesaan dan impian peribadi demi memastikan keluarga hidup dalam keadaan selesa dan bahagia.
Justeru, pengorbanan seorang ayah wajar dihargai kerana di sebalik ketegasan dan diamnya, tersimpan cinta yang begitu mendalam terhadap anak-anak dan keluarga.
Islam meletakkan kedudukan ibu dan bapa pada darjat yang tinggi. Allah SWT memerintahkan setiap anak agar berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa sebagai tanda penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan mereka.
Firman Allah SWT: :Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Isra ayat 23)
Ayat ini menunjukkan bahawa kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa disebut selepas perintah mentauhidkan Allah SWT. Ini menggambarkan betapa besar kedudukan dan kemuliaan ibu bapa dalam Islam.
Walaupun hadis banyak menyebut tentang kelebihan ibu kerana pengorbanannya yang sangat besar, namun jasa seorang ayah juga tidak kurang pentingnya kerana beliau merupakan pemimpin dan pelindung keluarga.
Seorang ayah memikul amanah yang besar dalam kehidupan. Tanggungjawab mencari nafkah merupakan antara pengorbanan terbesar yang dilakukan oleh seorang ayah.
Setiap hari beliau keluar bekerja, menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran demi memastikan keluarganya mempunyai makanan, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan yang sempurna.
Ada ayah yang terpaksa bekerja dalam keadaan panas terik, hujan lebat, berjauhan daripada keluarga dan menghadapi tekanan pekerjaan yang tinggi.
Namun semua itu ditempuhi dengan sabar demi melihat anak-anak membesar dengan baik.
Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang lelaki yang memberikan nafkah kepada keluarganya dengan mengharapkan pahala daripada Allah, maka nafkah itu dikira sebagai sedekah baginya.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
DIDIKAN AGAMA DARI SEORANG AYAH
Selain mencari nafkah, seorang ayah juga berkorban dalam mendidik anak-anak. Pendidikan bukan hanya berkaitan ilmu akademik, tetapi turut merangkumi pendidikan agama, akhlak dan nilai kehidupan.
Ayah yang bertanggungjawab sentiasa berusaha membimbing anak-anak agar mengenali Allah SWT, melaksanakan solat, menghormati orang lain dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang agama.
Sebagaimana firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)
Tanggungjawab seorang ayah amatlah besar dalam memastikan ahli keluarganya sentiasa berada dalam landasan yang benar.
Oleh sebab itu, seorang ayah sering menegur, menasihati dan kadangkala bersikap tegas demi kebaikan anak-anak.
Walaupun ketegasan itu mungkin tidak disenangi pada masa tertentu, hakikatnya ia lahir daripada rasa kasih dan tanggungjawab yang mendalam.
Dalam kehidupan moden hari ini, ramai ayah terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga kerana tuntutan pekerjaan.
Ada yang keluar bekerja sebelum anak-anak bangun tidur dan pulang ketika anak-anak sudah berehat. Walaupun jarang meluahkan perasaan, hati seorang ayah sentiasa memikirkan kebahagiaan keluarganya.
Mereka sanggup mengetepikan keinginan sendiri demi memenuhi keperluan anak-anak. Ada yang menangguhkan hasrat membeli sesuatu untuk diri sendiri semata-mata ingin memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik.
Pengorbanan seperti ini sering tidak disedari oleh anak-anak. Ketika masih kecil, kita mungkin menganggap segala kemudahan yang diperoleh adalah perkara biasa.
Namun apabila dewasa dan memikul tanggungjawab sendiri, barulah kita memahami betapa beratnya amanah yang ditanggung oleh seorang ayah.
Oleh itu, setiap anak hendaklah menghargai jasa dan pengorbanan ayah sepanjang hayatnya.
Penghargaan tidak semestinya melalui hadiah yang mahal, tetapi boleh dizahirkan melalui ketaatan kepada Allah SWT, menghormati ayah, mendengar nasihatnya serta sentiasa mendoakan kesejahteraannya.
Lebih-lebih lagi apabila ayah telah lanjut usia, anak-anak hendaklah menjaga dan berbakti kepadanya sebagaimana beliau pernah menjaga dan membesarkan mereka ketika kecil.
Abu Thalhah al-Ansari RA

ANTARA kisah sahabat yang menggambarkan pengorbanan seorang ayah ialah kisah Abu Talhah al-Ansari dan isterinya, Ummu Sulaim. Abu Talhah sangat menyayangi anak lelakinya yang masih kecil.
Namun, Allah SWT telah menguji mereka dengan kematian anak tersebut ketika Abu Talhah berada di luar rumah.
Ummu Sulaim dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran menguruskan jenazah anak mereka serta tidak terus memberitahu suaminya tentang berita itu sehingga beliau berada dalam keadaan tenang.
Setelah Abu Talhah mengetahui bahawa anak yang sangat dikasihinya telah meninggal dunia, beliau menerima takdir Allah SWT dengan penuh kesabaran walaupun hatinya sangat sedih.
Keesokan harinya, Ummu Sulaim menceritakan perkara itu kepada Rasulullah SAW. Baginda kemudian mendoakan keberkatan kepada pasangan tersebut.
Daripada keberkatan doa Rasulullah SAW, Allah SWT mengurniakan mereka zuriat yang soleh. Kisah ini diriwayatkan dalam hadis sahih oleh Anas bin Malik yang merupakan anak kepada Ummu Sulaim.
Pengorbanan Abu Talhah sebagai seorang ayah dapat dilihat melalui kesabarannya menghadapi kehilangan anak yang amat disayangi.
Walaupun berdepan ujian yang berat, beliau tidak menyalahkan takdir dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah SWT.
Sebaliknya, beliau reda dengan ketentuan-Nya dan terus berpegang teguh kepada iman.
Kisah ini mengajar bahawa pengorbanan seorang ayah bukan sahaja dalam mencari nafkah dan membesarkan anak-anak, tetapi juga dalam menanggung kesedihan, kebimbangan dan ujian yang menimpa keluarga.
Seorang ayah yang beriman akan sentiasa meletakkan kepercayaan kepada Allah SWT serta menjadi contoh kesabaran kepada ahli keluarganya.
Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh besarnya pahala seiring dengan besarnya ujian. Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka.” (Riwayat Al-Tirmizi)
Kisah Abu Talhah RA membuktikan bahawa kasih seorang ayah kadangkala terserlah melalui kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian, demi menjaga keutuhan keluarga dan meraih reda Allah SWT.
Hanzalah Azman