HARI Pahlawan yang disambut baru-baru ini mengingatkan kita tentang jasa dan pengorbanan besar para pejuang yang mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Mereka bukan sahaja mencurahkan tenaga, malah sanggup mengorbankan masa, harta dan nyawa demi memastikan keamanan yang kita nikmati pada hari ini. Dalam Islam, pengorbanan yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT mempunyai nilai yang amat tinggi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT telah membeli daripada orang-orang mukmin itu diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh…” (Surah al-Taubah: 111)
Ayat tersebut menunjukkan bahawa pengorbanan seorang pejuang di jalan Allah SWT merupakan suatu “jual beli” yang ganjarannya ialah syurga yang kekal abadi.
PENGORBANAN YANG BESAR
Para pahlawan tidak pernah mengira kesusahan dan kepayahan dalam perjuangan. Mereka meninggalkan keluarga dan keselesaan hidup, malah mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kebenaran. Sejarah Islam sendiri sarat dengan kisah para sahabat Nabi SAW yang sanggup berkorban demi agama.
Lihatlah keberanian Saidina Hamzah RA dalam Perang Uhud serta kesungguhan para sahabat dalam Perang Badar yang tetap berjuang walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Hal ini membuktikan bahawa kekuatan iman mampu melahirkan keberanian yang luar biasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah SWT, maka dialah yang berada di jalan Allah SWT.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pengorbanan bukan hanya dalam bentuk peperangan. Dalam konteks hari ini, anggota keselamatan dan tentera yang mempertahankan keamanan negara turut berkorban masa bersama keluarga, selain berdepan pelbagai risiko dan ancaman demi memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman.
GANJARAN MENANTI
Setiap pengorbanan yang dilakukan di jalan Allah SWT tidak akan sia-sia. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang bersungguh-sungguh berjuang dengan penuh keikhlasan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang terbunuh di jalan Allah SWT itu mati bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Surah Ali ‘Imran: 169)
Ayat tersebut menegaskan kemuliaan para syuhada yang mendapat kehidupan dan rezeki di sisi Allah SWT. Kemuliaan itu merupakan anugerah yang tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa yang ada di dunia.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang masuk syurga ingin kembali ke dunia, walaupun dia memiliki segala sesuatu di dunia, kecuali orang yang mati syahid. Dia ingin kembali ke dunia lalu terbunuh lagi sepuluh kali kerana melihat kemuliaan yang diberikan kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis tersebut menggambarkan besarnya ganjaran yang diberikan kepada mereka yang berkorban di jalan Allah SWT. Kemuliaan yang diperoleh oleh golongan syuhada begitu besar sehingga mereka mengharapkan untuk kembali ke dunia dan memperoleh lagi ganjaran tersebut.
Pengorbanan para pahlawan merupakan jasa yang tidak ternilai. Mereka menjadi benteng pertahanan yang memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat.
Sebagai generasi yang menikmati hasil pengorbanan tersebut, kita sewajarnya menghargai jasa mereka serta mencontohi semangat pengorbanan dalam kehidupan.
Marilah kita bersama-sama berdoa agar para pahlawan yang telah gugur ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta dikurniakan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Semoga kita juga diberikan kekuatan untuk berkorban demi kebenaran dalam apa-apa jua bentuk yang dibenarkan oleh syarak.
Sifat tegas Saidina Umar al-Khattab

SEPERTI yang kita ketahui, Saidina Umar bin al-Khattab RA memiliki sifat tegas, berani dan berpendirian kuat. Sifat tersebut sememangnya telah ada dalam dirinya sebelum memeluk Islam.
Namun, selepas memeluk Islam, beliau menggunakan ketegasan dan keberaniannya untuk menegakkan kebenaran serta mempertahankan agama Allah SWT.
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling penyayang dalam kalangan umatku ialah Abu Bakar, yang paling tegas dalam menegakkan agama Allah ialah Umar, yang paling pemalu ialah Uthman, yang paling mengetahui tentang halal dan haram ialah Muaz bin Jabal, yang paling baik bacaannya terhadap al-Quran ialah Ubay bin Kaab dan yang paling mengetahui tentang ilmu faraid ialah Zaid bin Thabit. Setiap umat mempunyai orang yang dipercayai dan orang yang dipercayai dalam kalangan umatku ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (Riwayat Ahmad)
Saidina Umar bin al-Khattab RA sangat tegas terhadap perkara yang batil dan musuh-musuh Allah. Ketegasan tersebut dapat dilihat dalam beberapa peristiwa sepanjang kehidupan beliau bersama Rasulullah SAW.
Sebagai contoh, Saidina Umar RA pernah mencadangkan agar tawanan Perang Badar dibunuh.
Beliau juga menyarankan agar Rasulullah SAW tidak mensolatkan jenazah Abdullah bin Ubay bin Salul, iaitu ketua golongan munafik.
Ketika Hatib bin Abi Baltaah mengutuskan surat kepada penduduk Makkah bagi memaklumkan mengenai kedatangan tentera Islam ke Makkah, Saidina Umar RA bertegas mahu mengambil tindakan terhadapnya.
Begitu juga terhadap golongan yang menentang Rasulullah SAW, Saidina Umar RA menunjukkan pendirian yang tegas sehingga musuh-musuh Allah SWT gerun terhadapnya.
Sifat tegas dan keras Saidina Umar RA bukan sahaja menyebabkan musuh berasa gerun, malah para sahabat juga amat menghormati dan menyegani beliau.
Walaupun memiliki watak yang tegas, beliau tidak menggunakan ketegasan tersebut secara melampau atau melampaui batas.
Sebaliknya, ketegasan itu digunakan untuk mempertahankan kebenaran dan menegakkan keadilan.
Dalam masa yang sama, hati Saidina Umar RA mudah tersentuh apabila mendengar ayat-ayat al-Quran.
Peristiwa keislamannya sendiri menjadi bukti bahawa ayat Allah SWT mampu melembutkan hati yang sebelumnya begitu tegas dan keras.
Oleh itu, sifat tegas tidak semestinya membawa kepada kekasaran atau kezaliman. Ketegasan yang berlandaskan iman, ilmu dan keadilan merupakan sifat terpuji yang dapat digunakan untuk mempertahankan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
Keperibadian Saidina Umar RA wajar dijadikan teladan agar ketegasan yang ada pada diri kita sentiasa dipandu oleh ajaran Islam dan dilakukan dengan penuh hikmah.
Oleh Hanzalah Azman





